Selalu sahaja kita mendengar perkataan zuhud. Namun, adakah kita memahami maksud sebenar zuhud? Menurut bahasa, zuhud ialah berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada sesuatu kerana tiada mutu atau nilainya. Manakala menurut syarak, zuhud ialah mengambil sekadar yang perlu daripada sesuatu yang diyakini halalnya. Sabda Rasulullah SAW:
“Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.” (HR Ibn Majah).
Umat Islam digalakkan memiliki sifat ini demi mengejar pahala akhirat yang lebih utama.k Huraian makna zuhud menurut istilah dapat digambarkan sebagaimana berikut:
• Benci kepada dunia dan berpaling daripadanya.
• Meninggalkan kesenangan dunia kerana memilih kesenangan akhirat.
• Hati tidak terpikat daripada sesuatu yang dikosongkan oleh tangan (yang tiada di tangan atau yang tidak dipunyai).
• Menghindarkan duka atas yang tiada dan menghilangkan gembira dengan yang ada.
Akan tetapi, ramai yang terkhilaf akan maksud ayat di atas. Ada sesetengah pihak beranggapan zuhud ini adalah mengejar akhirat semata-mata hingga meninggalkan semua urusan dunia. Anggapan itu ternyata salah sama sekali. Zuhud yang sebenar bukanlah bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.
Sifat zuhud adalah satu sifat yang mulia di sisi Allah SWT. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Muslim yang utama adalah Muslim yang mengamalkan sifat zuhud ini tanpa sedikit pun melupakan urusan dunia. Memang benar zuhud itu mengutamakan kehidupan akhirat. Tetapi perlu diingatkan bahawa ada sesetengah amalan dunia hendaklah dilakukan demi untuk meraih zuhud akhirat. Beramallah dengan amalan zuhud di dalam diri demi meraih keredhaan Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan