Home Kemanusiaan/Motivasi MENUNJUK-NUNJUK AMAL KEBAIKAN UNTUK MENUTUP KEBURUKAN YANG DILAKUKAN ADALAH SIFAT ORANG MUNAFIK...

MENUNJUK-NUNJUK AMAL KEBAIKAN UNTUK MENUTUP KEBURUKAN YANG DILAKUKAN ADALAH SIFAT ORANG MUNAFIK HINDARILAH SIKAP RIAK DAN BERPURA-PURA!!!

883
0

Jika kita lihat pada hari ini, semakin ramai warga maya menjadikan media sosial mereka sebagai lubuk dalam mencari rezeki dan juga melakukan amal kebajikan. Ia suatu perkara yang amat bagus dan disukai oleh Allah SWT. Namun, apa yang mendukacitakan terdapat di kalangan mereka yang sengaja menimbulkan kontroversi dengan amal kebajikan mereka demi populariti.

Mereka sengaja mencipta kontroversi untuk lebih dikenali dalam masa yang sama berbangga mencanang segala amalan kebajikan. Sedangkan perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa “tujuan tidak membenarkan cara.” Sebahagian amalan kebajikan dilakukan dicampur adukkan dengan perbuatan dosa dan maksiat bukan bertujuan untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Lebih parah lagi apabila kebajikan dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai agar melupakan perbuatan dosa dan maksiat yang dikerjakan. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (QS Al – Baqarah: 42).

Ajaran Islam menegah perbuatan mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan bukan hanya dalam aspek akidah, tetapi syariah dan akhlak kerana akan mengelirukan dan mengaburi kebenaran. Perbuatan mengaburi kejahatan dengan kebaikan merupakan jejak langkah Iblis sebagaimana kisah Iblis diusir dari syurga dan berpura-pura baik menggoda nabi Adam AS dan Hawa agar perbuatan derhakanya tidak dilihat salah. 

Jika seseorang mendakwa melakukan kebajikan untuk bertaubat, dia perlu berazam tidak mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Imam Nawawi menjelaskan jika kemaksiatan berlaku antara seorang hamba kepada Allah SWT, maka untuk bertaubat haruslah memenuhi tiga syarat iaitu segera hentikan semua kemaksiatan, merasa menyesal kerana melakukan kemaksiatan, dan berniat tidak mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.

Jauhilah sifat orang munafik seperti talam dua muka, mencampuradukkan antara perbuatan iman dan kufur serta melakukan amalan kebaikan untuk menyembunyikan kejahatan agar menjadi asbab terus menerus melakukan perbuatan dosa. Mari kita perbetulkan niat kita dan melakukan tindakan yang selaras dengan panduan syariat agar rezeki dan kehidupan mendapat keberkatan. Setiap perbuatan yang dilakukan tanpa menitikberatkan aspek keimanan akan menjadikan amalan yang dibuat itu menjadi sia-sia. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (QS Al Baqarah: 264).

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)