Kebahagiaan merupakan sesuatu yang menjadi dambaan dan impian setiap insan yang menghuni bumi yang terbentang luas ini. Namun tidak semua orang akan dapat memperolehi apa yang dihajatinya itu. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah yang bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga adalah berbeza di antara seseorang dengan yang lain. Ada yang menganggap kebahagiaan ini boleh dinikmati apabila kita ada segala-galanya, wang, harta dan pangkat. Tidak kurang juga yang berpendapat kebahagiaan hanya diperolehi daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Yang selebihnya pula berpendapat kebahagiaan yang sebenarnya itu terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan yang tulus ke hadrat Allah Yang Maha Esa.
Namun, kebahagiaan yang sebenar diperolehi adalah dengan sentiasa mengingati Allah SWT. Menurut Al – Farabi, kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi sekali yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan di atasnya yang lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya. Justeru sebagai kebajikan yang paling utama, kebahagiaan adalah kebajikan yang sangat-sangat dicari oleh setiap insan untuk kebaikan dirinya sendiri. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan juga merupakan keinginan terakhir yang dijejaki oleh setiap manusia yang menghuni alam semesta ini. Ini kerana apabila seseorang manusia berjaya menggapai kebahagiaan yang dicari-cari tersebut, maka dia tidak akan lagi memerlukan sesuatu yang lain daripadanya. Sabda Rasulullah SAW:
“Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.” (HR Ahmad).
Orang-orang yang berbahagia adalah orang yang memperolehi naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT, sedangkan orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan yang mendapat seksaan api neraka. Dengan kata lain, orang-orang yang beriman kepada Allah SWT sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Nilai kebahagiaan yang sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkatnya, kedudukannya, kekayaannya dan sebagainya. Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan soleh yang dilakukan seseorang hamba Allah SWT dengan penuh ikhlas sepanjangnya hidupnya. Isilah seluruh kehidupan kita dengan amalan-amalan soleh dan ibadat kepada Allah semata-mata. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah SWT kepada sesiapa yang beriman kepadaNya dengan sebenar-benar keimanan. Firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An – Nahl: 97).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan