Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATU PADU, BERBUAT BAIK, BERKASIH SAYANG SERTA BERLAKU ADIL KEPADA ORANG ISLAM...

BERSATU PADU, BERBUAT BAIK, BERKASIH SAYANG SERTA BERLAKU ADIL KEPADA ORANG ISLAM DAN BUKAN ISLAM ADALAH TUNTUTAN AGAMA

573
0

Menjadi salah seorang daripada masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama memang menjadi cabaran khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial itu. Cabaran itu wujud, terutama dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama serta budaya, sekali gus memerlukan pendekatan berhemah serta penuh rasa hormat.
Namun, dalam meniti kemajuan ini adakah kita mengamalkan konsep persefahaman dan ta’aruf di kalangan umat Islam dengan penganut agama lainnya? Sebagai sebuah negara moden yang melakar masa depan lebih dinamik dan berusaha memposisikan diri sebagai negara maju, cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan menjadi realiti perlu ditangani sebaik mungkin. Ini termasuklah dalam aspek persefahaman dan perpaduan.

Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)” (QS al-Hujurat: 13).

Islam telah mengajar umatnya akan kepentingan ukhuwah (persaudaraan), perpaduan, kasih sayang, kesejahteraan, keselamatan dan keadilan untuk umat sejagat tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit, bahasa mahupun taraf atau kedudukan pangkat dan sebagainya. Umat Islam perlu memahami kepentingan perpaduan dan nilai kasih sayang serta persefahaman sehingga ke tahap pencernaan sifat-sifat tersebut di dalam pemikiran serta urusan hidup seharian. Ini kerana pentingnya mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan tinggi kasih sayang dan ia sudah pasti akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara.

Islam meletakkan suatu asas, dasar dan panduan Syariat yang terbaik untuk umatnya dengan tujuan yang besar demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan umat Islam dan manusia seluruhnya melalui silaturrahim, ukhuwah, perpaduan, persefahaman dan kasih sayang. Ini kerana dengan sifat-sifat sebegitu, ia akan mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)