Pernah atau tidak kita mendengar pepatah Melayu mengatakan “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”? Memang di dalam Islam kita dianjurkan untuk sentiasa berhati-hati semasa melakukan kebaikan kepada orang, tetapi bagaimanakah sikap kita sekiranya kita ditimpa kejahatan oleh orang lain? Adakah kita perlu membalas juga dengan kejahatan? Dalam konteks dakwah Islam, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud:
“Berikanlah berita gembira dan janganlah jadikan mereka lari, permudahkanlah dan jangan menyusahkan.” (HR Muslim).
Rasulullah SAW juga diperintahkan oleh Allah SWT supaya membalas kejahatan dan kekerasan dengan dengan kebaikan, manakala kekerasan dan kejahatan adalah berlawanan sama sekali dengan perintah Ilahi itu. Hal ini kerana kekerasan dan kejahatan seringkali menimbulkan banyak masalah, kesulitan, huru-hara dan ketidakharmonian, akhirnya hanya akan menatijahkan akibat yang buruk di dalam masyarakat.
Peristiwa ini dapat dibuktikan semasa Rasulullah SAW berjaya menakluki kota Makkah iaitu pada 8 Hijrah, golongan kafir Quraisy dilanda rasa takut dan bimbang lantaran kejahatan mereka terhadap Rasulullah dan umat Islam pada masa lampau. Mereka semua menduga akan menerima pembalasan dan hukuman yang berat daripada Rasulullah. Bagaimanapun, apa yang ternyata pada hari yang bersejarah itu, Rasulullah telah mengisytiharkan hari berkenaan sebagai hari pengampunan dan pemberian kemaafan kepada kaum Quraisy iaitu dengan mengumumkan tiga cara untuk berdamai termasuk salah satu caranya adalah berlindung di rumah Abu Sufyan.
Rasulullah SAW dan umat Islam diperintahkan supaya tidak membalas kejahatan golongan kafir Quraisy dengan kejahatan. Sebaliknya, Rasulullah dan umat Islam melayan mereka dengan baik dan penuh saksama. Dari sini, jelas bahawa Islam hanya menganjurkan kebaikan dan pada masa sama Islam melarang sebarang bentuk kejahatan atau kekerasan walaupun dengan tujuan kebaikan sekalipun. Dalam hal ini, timbullah satu kaedah yang diguna pakai dalam kehidupan umat Islam iaitu ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Islam juga mengajar umatnya supaya menolak kejahatan itu dengan kebaikan. Hal ini kerana kejahatan itu tidak akan berlanjutan dan berterusan pada masa akan datang di samping ia menghasilkan satu jalinan yang baik antara pelaku kejahatan dengan mangsa kejahatan.
Apabila kejahatan dibalas dengan kejahatan, dikhuatiri ia akan mengakibatkan kejahatan yang semakin parah dan melarat di dalam komuniti masyarakat. Hal ini kerana membalas kejahatan untuk menolak kejahatan bermakna satu taktik untuk membalas dendam, sekali gus memberi peluang untuk melakukan kejahatan yang lebih besar. Justeru, dalam hal ini antara orang yang berbuat jahat dengan orang yang membalas kejahatan adalah sama sahaja kedudukannya dan tarafnya. Jadi, marilah kita mengubah persepsi dari dalam diri kita untuk tidak membalas kejahatan dengan kejahatan yang lainnya. Sebaliknya, balaslah kejahatan dengan kebaikan. Firman Allah SWT:
“Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (QS Al – Fussilat: 34).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan