Golongan ateis mendakwa bahawa Tuhan tidak memenuhi kriteria satu kewujudan. Pada mereka Tuhan yang didakwa seluruh agama tidak dapat dicapai melalui lima pancaindera iaitu tidak dapat dilihat, disentuh, didengar, dihidu dan dirasai. Oleh itu, Tuhan dikatakan benar-benar tidak wujud melainkan khayalan yang direka semata-mata.
Di era moden pula, mereka turut mendakwa bahawa Tuhan tidak juga ditemui dengan alat dan mesin yang canggih. Hal ini menyebabkan keyakinan mereka lebih kuat bahawa Tuhan itu benar tidak wujud. Jika kita mendengar hujah ini kita akan merasakan ada benarnya dakwaan mereka. Namun, sebagai umat Islam harus sedar bahawa perkara-perkara ghaib itu adalah benar dan wajib mempercayainya sepertimana yang telah diterangkan di dalam al-Quran dan hadis.
Masyarakat Islam meyakini kewujudan Allah kerana sudah dikhabarkan oleh para Nabi, para sahabat dan seluruh umat Islam terdahulu. Hakikatnya umat Islam perlu sedar pembuktian sesuatu yang wujud tidak terhad kepada lima pancaindera sahaja. Sebaliknya khabar yang mutawatir atau pemberitahuan daripada ramai orang sehingga sukar dinafikan khabar itu juga merupakan suatu kaedah pembuktian kewujudan.
Sebagai contoh, kewujudan gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest sepertimana yang diyakini oleh semua orang di seluruh dunia, meskipun bukan setiap manusia tersebut dapat membuktikan kewujudannya dengan lima pancainderanya sendiri mereka tetap menganggap bahawa Gunung Everest itu wujud. Persoalannya, daripada manakah keyakinan itu wujud? Sudah pasti jawapannya ialah daripada seseorang yang pernah mendakinya kemudian menceritakan kisahnya kepada media termasuklah para pengkaji yang turut mendokumentasikan hasil kajian mereka mengenai Gunung Everest. Oleh kerana ramai yang mengkhabarkan kepada kita tentang kewujudannya maka kita yakin ia wujud. Begitu juga kewujudan nyawa kita pun tidak dapat dibuktikan di mana keberadaannya. Malah banyak lagi perkara yang wujud di dunia ini tidak dapat dibuktikan dengan lima pacaindera kita.
Demikianlah juga dengan kewujudan Allah yang sudah dikhabarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang telah yakin dengan kewujudan Allah dengan pelbagai mukjizat yang diberikan kepada Baginda. Kemudian dikhabarkan kepada para sahabat Nabi sehingga sampai pada kita sekarang, khabar kewujudan Allah adalah mustahil untuk dinafikan. Dengan demikian, kita yakin kewujudan Allah yang termasuk dalam hal ghaib yang mesti diyakini setiap orang Islam.
Hakikatnya dakwaan golongan ateisme sekadar dakwaan palsu dan penyelewengan fakta berdasarkan hujah akal yang terbatas semata-mata. Mereka tidak mempunyai hujah melainkan kenyataan yang dipaksakan ke atas pengikut mereka.
Sumber: Harian Metro, 10 Ogos 2020.