Home Kemanusiaan/Motivasi YAKIN DAN ISTIQOMAH LAH DALAM BERDOA NESCAYA ALLAH SWT AKAN MENGKABULKAN DOA...

YAKIN DAN ISTIQOMAH LAH DALAM BERDOA NESCAYA ALLAH SWT AKAN MENGKABULKAN DOA HAMBA NYA

773
0

Mesti ada di kalangan kita yang pernah tertanya-tanya kepada diri sendiri, solat sudah dilakukan, berdoa pun sudah, mengapa Allah SWT masih lagi tiudak mengabulkan doa kita? Ia sememangnya perkara normal bagi setiap hamba Allah SWT mengharapkan doanya sentiasa dimakbulkan. Doa ialah kekuatan dan senjata bagi orang yang benar imannya. Seseorang yang berdoa perlu tahu adab ketika berdoa kepada Allah SWT.

Doa yang terbaik ialah doa yang dilakukan pada setiap masa dalam keadaan tanpa jemu untuk memohon kepada-Nya. Ini kerana setiap daripada kita sentiasa berhajat dalam kehidupan di dunia ini. Namun begitu keperluan hajat manusia sudah pasti menginginkan kehidupan yang kekal untuk bahagia di akhirat nanti. Islam menganjurkan kepada umatnya untuk berdoa dengan kaedah yang terbaik sesuai dengan perintah Allah SWT bagi tujuan memohon segala keperluan dan hajat. Antara kaedah tersebut adalah memohon kepada Allah SWT dengan penuh rasa tawaduk iaitu merendah diri ketika berdoa. Bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.” (QS al-A’raaf: 55).

Ujian dan musibah adalah antara tanda kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya. Perintah untuk berdoa bukan sahaja ketika kita dalam keadaan susah, malahan juga ketika dalam keadaan selesa dan tenang. Setiap hamba Allah SWT perlu mengakui akan kekurangan dan kelemahan diri masing-masing. Segala yang dimiliki hakikat sebenarnya adalah milik Allah SWT. Kita semua adalah hamba Allah SWT yang tidak memiliki sesuatu pun melainkan apa yang dipinjamkan Allah SWT kepada kita di atas muka bumi ini.

Jelas di sini, kita perlu sentiasa ingat dan sedar dengan penuh keinsafan bahawa apabila insan berdoa dan menadah tangan, kita perlu merasai diri adalah terlalu kerdil dan sangat lemah bahkan sangat mengharapkan permintaan doa kita dimakbulkan Allah SWT kerana keyakinan kita bahawa Dia lah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hambaNya. Untuk itu, menjadi kelaziman seorang Muslim untuk terus berdoa kepada Tuhannya tanpa sedikit pun lalai terhadap tuntutan untuk berdoa. Ini adalah disebabkan kita meyakini dengan sangkaan yang kuat tanpa sedikit pun meragui terhadap doa yang dimohon. Allah SWT berfirman:

“Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (QS al-Ghafir: 60).

Setiap doa mempunyai gaya bahasanya yang unik mengikut situasi dan tempat. Sebutan doa yang terbaik di hadapan Maha Mendengar ialah dengan menyebut doa yang mathur daripada Nabi SAW atau doa yang terdapat di dalam al-Quran. Keyakinan doa yang kita mohon itu perlu dicontohi melalui pengalaman yang dilalui oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan baginda. Baginda sentiasa teguh yakin dengan doanya dan doa yang dimohon oleh Rasulullah SAW sentiasa dilimpahi dengan rahmat serta keberkatan daripada Tuhan. Seseorang hamba perlu sentiasa berdoa dengan penuh tawaduk di samping meletakkan keyakinan yang teguh kepada Allah Yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah. Keperluan untuk berdoa perlu diterapkan dalam jiwa hamba supaya ia memberikan kebaikan serta menjadikan insan sedar akan kehebatan doa dalam kehidupan ini. Mukmin yang mempunyai iman yang tulus suci akan sedar bahawa doa memberikan keajaiban dalam kehidupannya. Perbanyakkan doa dan sentiasa bersangka baik dengan Tuhan kerana sesuatu kurniaNya mempunyai hikmah yang tidak terjangkau oleh seorang hamba.

Sumber: Harian Metro (22 September 2022)