Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHILAH PERKARA YANG SYUBHAH SUPAYA KITA LEBIH BERHATI-HATI DALAM URUSAN AGAMA DAN...

JAUHILAH PERKARA YANG SYUBHAH SUPAYA KITA LEBIH BERHATI-HATI DALAM URUSAN AGAMA DAN AGAR JIWA MENJADI TENANG

517
0

Islam telah menetapkan peraturan jelas setiap perkara yang dihalalkan dan dilarang agama. Ini sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis dengan maksudnya:

“Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara yang berada antara halal dan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai manusia mengetahuinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis itu, timbul satu istilah disebut sebagai syubhah atau mutasyabihah. Perkataan syubhah berasal daripada bahasa Arab dan kini sudahpun diterima sebagai perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Abu Hamid Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum ad-Din mentakrifkan syubhah sebagai perkara yang samar-samar disebabkan berlakunya pertembungan antara dua pegangan yang timbul daripada dua bukti atau sebab. Oleh itu, antara sebab yang menjadikan sesuatu perkara itu dikategorikan sebagai syubhah apabila wujudnya pertembungan pandangan berdasarkan pembuktian tersendiri.

Syubhah bukan setakat tertakluk di atas makanan dan minuman sahaja, malah dari segi perniagaan dan urusan jual beli boleh sahaja jatuh dalam bentuk syubhah jika tidak disedari. Sebagai contoh, dalam satu bentuk pelaburan, khususnya pelaburan yang bersifat konvensional, kita tidak tahu kemana wang pelaburan itu dialirkan dan kita menjadi ragu-ragu. Jadi di situ sudah masuk salah satu bentuk syubhah. Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua perkara yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW nyatakan dalam al-Quran dan hadis, jelas dari segi hukumnya sama ada halal ataupun haram. Namun begitu ianya tidak bermakna apabila Allah SWT dan RasulNya tidak mengatakan mengenainya, lantas perkara itu boleh dianggap halal.

Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara halal dan haram, terdapat perkara syubhah. Syubhah merupakan sesuatu perkara atau keadaan yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhah juga boleh juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun syubhah bukanlah halal dan tidak juga haram, tetapi ianya tidak bermakna perkara syubhah itu boleh dilakukan sesuka hati. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menjauhi syubhah, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhah, ia seolah telah jatuh dalam yang haram” (HR Muslim).

Dalam hal ini, seharusnya apabila kita meragui sesuatu perkara, hendaklah kita menjauhkan diri daripada melakukan perkara tersebut kerana dikhuatiri akan terjerumus kepada perkara yang haram. Jika kita berhati-hati dan mengambil berat mengenai urusan agama dan perkara yang berkaitan dengan akidah, sudah pasti kita akan dapat menjauhi diri daripada terjebak dengan perkara yang diragui atau syubhah sekaligus menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan perkara yang haram dan kemurkaan Allah SWT. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang syubhah atau meragukan agar jiwa kita sentiasa tenang. Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.

Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang haram sama ada makanan, minuman, perbuatan dan pertuturan. Kita juga perlu jauhkan diri kita daripada perkara-perkara syubhah yang tidak jelas halal dan haram semata-mata untuk menjaga agama dan akidah agar tidak tergelincir kepada perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (23 Disember 2019)