Home Kemanusiaan/Motivasi SALAH FAHAM MAKNA JIHAD DAN MATI SYAHID PUNCA TERLIBAT AKTIVITI KEGANASAN

SALAH FAHAM MAKNA JIHAD DAN MATI SYAHID PUNCA TERLIBAT AKTIVITI KEGANASAN

2503
0

Salah faham ketara masyarakat khususnya yang beragama Islam tentang maksud jihad yang sebenar dan konsep mati syahid merupakan antara faktor utama yang menyumbang penglibatan besar mereka dalam kegiatan keganasan. Antara punca utama penyertaan masyarakat dalam kegiatan keganasan adalah akibat daripada sikap sebahagian mereka yang ingin melarikan diri daripada masalah dan realiti kehidupan dunia yang sukar dan menghimpit seperti kemiskinan, ketidakadilan dan keruntuhan institusi keluarga.

Akibat daripada itu, ramai yang mula mencari jalan keluar dengan niat untuk menjauhkan diri daripada segala masalah yang dihadapi. Lebih malang lagi, mereka mula terjerumus dengan ‘dakyah’ kumpulan-kumpulan militan yang kononnya ingin membantu mereka keluar daripada belenggu masalah. Melalui apa? Perang ‘jihad’ di luar negara seperti Afghanistan, Syria, Iraq, Selatan Filipina, Kashmir dan sebagainya. Mereka mula terpengaruh dengan ideologi mati syahid dan ganjaran syurga seperti yang diwar-warkan. Ini ditambah pula dengan pengaruh daripada media sosial yang tiada tapisan penyiaran. Walhal itu semua adalah tipu daya kumpulan militan atau pengganas yang ingin merekrut sebilangan masyarakat untuk melakukan tindakan keganasan tetapi berjuang atas alasan agama yang bertopengkan jihad dan mati syahid.

Dalam hal ini, kita harus perbetulkan kefahaman masyarakat khususnya golongan belia dan pertengahan mengenai maksud jihad yang sebenar dan konsep mati syahid.  Jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.

Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar” (QS Al-Furqan: 52).

Menurut para mufassirin (ulama tafsir), jihad yang besar di sini adalah bermaksud jihad melawan hawa nafsu (jihad un-nafs) yang merupakan satu perjuangan yang besar.

Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan penting dalam menyekat ideologi militan ini dari terus berleluasa hingga menyerap ke dalam fikiran anak-anak kita. Pihak kerajaan dan jabatan agama Islam harus mewartakan undang-undang baharu terhadap bahan penyiaran agama dengan lebih ketat. Ini kerana dikhuatiri akan berlakunya kebocoran ‘maklumat’ mengenai kumpulan pengganas.

Adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana, maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. Begitu juga dengan konsep mati syahid yang perlu dijelaskan kepada masyarakat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan terutamanya melalui media sosial hari. Membunuh orang awan yang tidak bersalah adalah haram dan sangat dilarang dalam Islam walau atas alasan apa sekalipun. Pelakunya, sama sekali tidak boleh dikategori sebagai mati syahid meskipun atas alasan ‘berjihad’ seperti yang digembar gemburkan oleh kumpulan militan. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam, negara dan umatnya dari ancaman musuh.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah persekutuan