Home Kemanusiaan/Motivasi MARILAH MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA GOLONGAN YANG MENDAPAT KEBAIKAN DARIPADA DOA PARA MALAIKAT

MARILAH MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA GOLONGAN YANG MENDAPAT KEBAIKAN DARIPADA DOA PARA MALAIKAT

142
0

Setiap daripada kita sudah pasti mahukan pengakhiran yang baik dalam hidup bukan? Tidak susah untuk menjadi manusia yang baik tetapi untuk kekal istiqomah dalam menjadi hamba Allah SWT yang baik itu menuntut kesabaran yang tinggi. Sabda Rasulullah SAW:

“Di antara kebaikan Islam seorang adalah meninggalkan suatu yang tidak berfaedah baginya.” (HR Tirmidzi).

Apabila kita sudah berazam dan berdoa kepada Allah SWT untuk menjadi manusia yang baik, sudah pasti para malaikat juga akan mendoakan kepada Allah SWT supaya kita dikurniakan segala hal yang baik di dalam hidup. Antara kebaikan yang sering didoakan oleh para malaikat buat umat Islam adalah apabila kita mendoakan kesejahteraan saudara seagama kita. Daripada Abi Dardaa RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: ‘Dan bagimu kebaikan yang sama.” (HR Muslim).

Bukan itu sahaja, berdoa adalah satu lambang pengabdian diri seorang hamba kepada penciptaNya dan juga merupakan satu cara untuk memohon hajat kepada Allah SWT. Alangkah beruntungnya seseorang Muslim itu jika didoakan oleh makhluk Allah SWT yang paling taat dan mengabdikan dirinya semata-mata untuk beribadah kepadaNya iaitu para malaikat. Sekiranya kita ingin mendapat doa daripada para malaikat, maka jadilah sebahagian daripada golongan-golongan berikut:

1) Golongan yang bersedekah. Golongan ini sudah pasti mendapat jaminan doa para malaikat. Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (HR Bukhari).

2) Golongan yang menunggu waktu solat. Golongan ini sangat istimewa di sisi Allah SWT kerana dirinya seakan-akan rindu untuk bertemu dengan Allah SWT di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat.

3) Golongan yang mengajarkan kebaikan. Golongan ini akan mendapatkan doa bukan sahaja daripada para malaikat, malah Allah SWT serta penduduk langit dan bumi akan mendoakannya sebagai orang yang mengajarkan kebaikan. Ini kerana menurut sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-Nya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (HR Tirmidzi).

4) Golongan yang menziarahi kerana Allah SWT. Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit, atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana Allah SWT, maka dia akan memperoleh doa dari para malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi:

“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH maka nanti akan diseru dengan kata-kata: engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.”

Justeru, marilah kita sebagai umat Islam menjadi sebahagian daripada golongan yang didoakan kesejahteraannya oleh para malaikat. Mudah-mudahan segala amal kebaikan yang kita lakukan ini diterima di sisi Allah SWT dan dikurniakan ganjaran pahala dan syurga yang tidak terkira nilainya, Aamiin.

Sumber: Harakah Daily (23 Mac 2021)