Home Ajaran Sesat MENGAPAKAH SESEBUAH GOLONGAN ITU DIANGGAP SESAT JIKA DOKTRIN KEPERCAYAANNYA BERCANGGAH DENGAN PEGANGAN...

MENGAPAKAH SESEBUAH GOLONGAN ITU DIANGGAP SESAT JIKA DOKTRIN KEPERCAYAANNYA BERCANGGAH DENGAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?

380
0

Ajaran sesat didefinisikan sebagai sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam. Sedangkan hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijma’, qias yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Syiah, Murjiah, Khawarij, Qadariyyah, Jabariyyah dan Muktazilah. Antara fahaman kontemporari yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah pula adalah seperti nasionalisme, sekularisme, liberalisme, pluralisme, sosialisme, kapitalisme dan komunisme.

Selain itu, seseorang individu atau sesebuah kumpulan itu dikatakan sesat apabila dari sudut pengamalan atau syariat seperti ibadah atau ritual itu diada-adakan dan menyalahi sumber syariat Islam. Sebagai contoh, mengamalkan solat yang wajib kurang atau lebih daripada lima waktu, menunaikan haji bukan di Mekah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Justeru itu, sekiranya terdapat dakwaan wujudnya agama atau ajaran baru, kitab suci baru yang menyalahi syariat-syariat yang sedia ada, wujudnya nabi atau rasul baru, maka secara jelasnya ianya adalah tergolong dalam ajaran sesat dan menyebabkan pencemaran terhadap ajaran Islam yang suci.

Seharusnya umat Islam perlu fahami bahawa Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia. Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Umat Islam dikatakan bersifat ‘ummatan wasatan’ yang melambangkan Islam itu sendiri bersifat sederhana, mudah, praktikal dan bertoleransi. Jadi, mengapa lagi perlu terpengaruh dengan doktrin sesat lain yang tidak pasti sumbernya?

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor