Home Kemanusiaan/Motivasi SEBARKANLAH KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA KERANA IA MERUPAKAN RAHMAT DARIPADA ALLAH SWT

SEBARKANLAH KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA KERANA IA MERUPAKAN RAHMAT DARIPADA ALLAH SWT

688
0

Di dalam ajaran agama Islam telah dianjurkan sifat kasih sayang dalam hidup bermasyarakat bagi mewujudkan keharmonian dan keamanan. Umum mengetahui bahawa kasih sayang adalah kunci kepada perpaduan dan kemakmuran hidup dalam Keluarga Malaysia. Untuk itu, Islam adalah agama yang sangat mengambil peduli terhadap kehidupan berkasih sayang sesama manusia dan sentiasa mengajar manusia untuk berlaku adil dalam semua perkara walaupun berbeza budaya, agama dan keturunan.

Islam adalah agama yang membawa rahmat dalam erti kata kasih sayang yang merentasi semua agama sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam” (QS al – Anbiya’: 106).

Jelas sekali dalam ayat al – Quran di atas erhadap sifat agama Islam yang menganjurkan tema rahmat kasih sayang yang merangkumi makna tersirat dalam mempraktikan nilai kasih sayang sesama manusia merentasi agama. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW juga telah bersabda:

“Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (HR Muslim).

Pernah atau tidak kita terfikir apabila kita menyebarkan kasih sayang kepada seluruh umat manusia, maka rahmat Allah SWT akan sampai kepada kita? Sama ada kita sedar ataupun tidak, apabila kita menyebarkan kasih sayang dengan ikhlas kita akan terasa lebih dihargai dan disayangi oleh masyarakat sekeliling bahkan hidup kita lebih tenang. Sifat kasih sayang sesama manusia itu mampu menyuburkan keindahan Islam dan mengangkat kemuliaan peribadi seseorang dari sisi pandangan Islam. Contoh teladan yang diamalkan umat Islam dalam konteks berkasih sayang mampu menyampaikan mesej kepada masyarakat dunia bahawa Islam memiliki nilai kasih sayang yang sangat utuh dan mampu membawa kepada kebahagian hidup. Hal ini akan memberikan satu natijah yang positif terhadap perkembangan dakwah Islam.

Manusia lebih terkesan dan mudah untuk didekati jika pendekatan Islam melalui kasih sayang dapat dipraktikkan secara sempurna. Lihat betapa mudahnya dakwah berasaskan kasih sayang berbanding dengan pendekatan dakwah yang lain. Ini kerana manusia berjaya dibentuk kalbunya melalui sentuhan kasih kasih yang mempunyai kekuatannya tersendiri sehingga mampu menyatukan manusia yang berbeza agama dan keturunan untuk saling membantu dan membina semangat toleransi yang tinggi dalam membentuk ikatan persaudaraan yang luar biasa.

Maka dari itu, tanamkanlah sifat kasih sayang sesama manusia yang menjadi tunjang kepada pendekatan dakwah Islam serta sampaikan mesej rahmat Islam untuk seluruh alam. Segala masalah akan selesai jika hilangnya kebencian dan permusuhan dan suburnya kasih sayang di atas bumi Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (19 Oktober 2022)