Hidup yang sementara di dunia ini, eloklah sekiranya digunakan untuk memenuhkan bekal amalan untuk bantuan kita di akhirat kelak. Akan tetapi sudah namanya fitrah manusia, pasti sahaja aka nada yang tak kena dan mencari – cari kesalahan orang lain. Perbuatan ini dinamakan Tajassus yang bermaksud perbuatan mencari-cari kesalahan dan keburukan orang lain dengan cara menyelidiki serta mengintip.
Perbuatan ini hampir sama dengan berburuk sangka. Kedua-duanya tergolong sifat tercela amat dibenci Allah SWT dan Rasul-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12 bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang mengata sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka makan daging saudaranya yang sudah mati?..”
Prasangka buruk adalah perbuatan dosa. Selain itu terdapat larangan tajassus yang juga kesan daripada tindakan berprasangka buruk. Perbuatan tajassus ini mempunyai kesan yang negatif antaranya akan merosakkan hubungan baik antara manusia. Apabila seseorang sibuk mencari kesalahan orang lain atau menularkan aib orang lain, perbuatan itu akan menciptakan permusuhan, perselisihan dalam kalangan individu dan masyarakat, sekali gus mengakibatkan keharmonian sosial terganggu serta terjadi perpecahan dalam masyarakat.
Hal ini ditambah lagi dengan pelbagai ‘posting’ dari media sosial yang tidak bersifat penuh membuatkan tajassus itu lebih mudah untuk disebarkan kepada masyarakat. Seharusnya seorang mukmin bertakwa tidak akan berkata sembarangan dan tidak mengatakan selain kebenaran. Setiap Muslim wajib berbaik sangka dan kerana itulah setiap umat Islam wajib berhati-hati dalam semua urusan. Hal ini disebabkan zaman kini penuh dengan fitnah dan ramai manusia menyimpang daripada kebenaran. Berbicaralah dengan lunak dan rendah hati kerana sifat lemah lembut itu adalah kebaikan kepada Allah SWT.
Sama – sama lah kita menghindari perbuatan tajassus ini kerana ia perkara yang dilarang dalam Islam itu sendiri. Jika perbuatan ini tidak dibendung, dikhuatiri akan menular dalam masyarakat sekali gus dinormalisasikan. Marilah kita menghayati pesanan baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:
“Berhati-hatilah kalian daripada tindakan prasangka buruk kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari berita keburukan orang lain, saling mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara.”
Sumber: Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa