Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH MARUAH SEBAGAI SEORANG MUSLIM KERANA MARUAH ITU IBARAT CERMINAN DIRI

JAGALAH MARUAH SEBAGAI SEORANG MUSLIM KERANA MARUAH ITU IBARAT CERMINAN DIRI

544
0

Akhir zaman ini, maruah itu seakan dipandang ringan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai platform media sosial, maruah itu seakan tidak bernilai harganya pada mata manusia termasuklah yang beragama Islam. Bukankah agama Islam telah mengajarkan kita untuk menjaga maruah dan melindungi aurat diri? Firman Alllah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..” (QS An – Nur: 30 – 31).

Lihatlah gelagat setiap manusia di media sosial terutamanya umat Islam, mereka seakan hilang malu apabila menari dengan ghairah hingga menampakkan lengkuk tubuh di sebalik pakaian ketat mereka. Perbuatan ini sangat melampaui batas dan tidak keterlaluan jika dianggap perbuatan mereka mencemarkan nama baik Islam. Tidakkah mereka tahu bahawa maruah itu ibarat cerminan diri? Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR Bukhari).

Setiap insan perlu faham, bagi memastikan maruah diri dipelihara sebaiknya, usah biarkan diri terjebak dalam perkara yang boleh menjatuhkan maruah diri. Menjaga kehormatan diri antara perkara yang paling diutamakan dalam agama Islam. Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhkan maruah diri sendiri serta maruah keluarganya.

Sebelum maruah tergadai, elok kita berhati-hati dengan tindakan sendiri terutama apabila berkongsi kisah dalam media sosial. Insan yang baik sentiasa menjaga akhlak atau keperibadian dirinya. Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambarkan ketinggian martabat Islam yang jelas menggariskan elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama.

Sumber: Harian Metro (22 Oktober 2018)