Baru-baru ini dikhabarkan bahawa Siti Kassim, Peguam dan aktivis hak asasi manusia bakal bertanding sebagai calon bebas mewakili kumpulan Gerak Independent di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Implikasi daripada perkhabaran itu memberikan satu ‘amaran’ kepada umat Islam khususnya di Malaysia bahawa tokoh-tokoh liberal kini tanpa segan dan silu ingin menjadi wakil rakyat kononnya demi membela nasib rakyat. Sedangkan sebaliknya kita harus sedar bahawa golongan liberal ini ingin memperjuangkan dan menyebarluaskan agenda liberalisme dalam kehidupan kononnya atas nama Islam.
Golongan liberal yang sememangnya terkenal dengan membawa gagasan untuk mentafsir, meminda, memansuhkan atau menambah semula hukum-hakam dan syariat Islam yang sememangnya sudah termaktub di dalam al-Quran, as-Sunnah, qias serta telah dipersetujui oleh persepakatan para ulama yang muktabar. Alasannya kerana Islam adalah jumud dan tidak maju jika berpegang pada sumber utama Islam tersebut.
Bukannya tidak pernah berlaku isu golongan liberal ini mendesak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya mahkamah sivil mempunyai hak untuk mencampuri urusan orang Islam, menyokong pertubuhan IFC, mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam, penafsiran semula ayat al-Quran agar selari dengan peredaran zaman dan sebagainya.
Justeru itu, sekiranya golongan liberal ini seperti Siti Kassim, golongan G25, Sister in Islam dan seangkatan denganya diangkat menjadi pemimpin, maka apakah yang bakal terjadi dengan Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan? Bagaimana pula perundangan dan segala perkara berkaitan agama Islam akan diaplikasi sekiranya mereka yang memegang tampuk pemerintahan? Maka bukalah mata bukalah minda agar tidak memilih golongan yang tidak layak menjadi pemimpin. Dikhuatiri sekiranya perkara ini berlaku, maka kecenderungan pemartaban Islam adalah sangat tipis dan mempunyai potensi besar untuk mempengaruhi akidah umat Islam di negara ini.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haqcentre dan Utusan Malaysia – 18OKT 2022