‘Ikhtilat’ secara umumnya membawa maksud percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di satu-satu tempat.
Iktilat’ iaitu berkumpulnya laki-laki dan wanita di satu tempat dan bercampur baurnya mereka serta sebahagian mereka berinteraksi dengan sebagian lainnya, lalu sang wanita menyingkap wajahnya dihadapan laki-laki, semua itu merupakan perkara yang diharamkan dalam syariat karena hal itu termasuk sebab fitnah dan membangkitkan syahwat serta faktor pencetus perbuatan zina dan kemungkaran.
Dalil tentang haramnya ‘ikhtilat’ dalam Al-Quran dan Sunah adalah banyak, di antaranya:
Firman Allah S.W.T:
“Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (istri-istri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” (QS. Al-Ahzab: 53).
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga, duduk di antara mereka.” (HR at-Tirmizi).
Namun, pada masa sekarang, ‘ikhtilat’ ini seolah-olah tidak dapat dielakkan. ‘Ikhtilat’ berlaku baik di tempat kerja, sekolah, universiti, institusi dan juga dalam aktiviti seharian. Apatah lagi dalam dunia maya sekarang ini. ‘Iktilat’ yang berlaku dengan berleluasa sama ada dalam kalangan golongan berumur, apatah lagi golongan muda. Seolah-olah pergaulan yang berlaku di alam maya melalui pelbagai aplikasi media sosial antara perempuan dan lelaki yang bukan mahram sudah tidak ada batas syariatnya lagi.
Ramai di antara masyarakat kita pada hari ini menggunakan pelbagai aplikasi media sosial dalam mencari kenalan. Apabila perkenalan dimulakan, maka yang seterusnya pula akan menyusul. Namun, ramai di antara kita yang langsung tidak menjaga adab pergaulan dengan melakukan ‘iktilat’ sesudah perkenalan. Bukan sahaja mendedahkan diri dengan tidak mengikut syariat seperti dengan bangga berkomunikasi dengan pasangan dengan mempamerkan kecantikan wajah dan sebagainya, berbual dan berkomunikasi tanpa batasan syariat, malah habis segala cerita “dalam kain” dilondehkan atas dasar kepercayaan terhadap pasangan masing-masing.
Allah S.W.T berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (QS An – Nur: 30 -31).
Allah S.W.T telah memerintahkan kita untuk sentiasa menjaga batas dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi. Ini untuk mengelakkan berlakunya masalah akhlak di kalangan umat Islam dan untuk mencegah dari berlakunya pelbagai jenayah seperti berlakunya perzinaan, kes pembuangan bayi, pengguguran secara haram, perdagangan manusia dan lain-lain.
Walaupun di dunia maya seperti Facebook, Instagram, Twitter atau jenis-jenis lain media sosial digunakan untuk memulakan perkenalan di antara lelaki dan perempuan, ada batas yang perlu dijaga. Lebih-lebih lagi apabila dunia semakin maju untuk berhubung dengan menggunakan aplikasi ‘face time’, ‘video call’ atau ‘zoom’, tetapi janganlah kita terlalu maju untuk melondehkan semua keaiban, membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, memdedahkan kecantikandiri dan perkara lain yang dibataskan dalam syariat kepada kenalan baru kita. Perbuatan tersebut bukan saja haram dalam Islam malah ia berkemungkinan akan mengundang jenayah kerana akan menjadi modal buat si pemangsa untuk menjerat mangsanya.
Islam sebenarnya indah dan sempurna. Di dalamnya telah digariskan syariat bagaimana cara-cara seorang lelaki mahupun seorang wanita berhubungan antara satu sama lain. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram meskipun berhubung melalui media sosial di alam maya.
Sumber: Malaysia Gazette (15 Disember 2020)