Salah satu cabaran dalam pengembangan agama Islam semenjak dahulu ialah wujudnya pengaruh yang cuba memesongkan akidah penganut agama Islam. Sejak zaman nabi sehinggalah kini, umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat termasuklah di Malaysia.
Mengikut sejarah, ajaran sesat telah mula dikesan di Malaysia sebelum tahun 1950an lagi. Antara ajaran sesat yang mendapat perhatian umum termasuklah ajaran dari kumpulan al-Arqam, ajaran Haji Kahar atau dikenali sebagai ‘Rasul Melayu’, ajaran Ayah Pin dan sebagainya. Kebanyakan ajaran sesat ini bergerak secara senyap-senyap menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal.
Hendak diberi penekanan juga bahawa hampir keseluruhan ajaran sesat berselindung disebalik ajaran tarekat dan tasawuf. Kebanyakannya menamakan kumpulan tarekat mereka berdasarkan nama pengasasnya sendiri dan kemudian digabungkan dengan nama kumpulan tarekat yang terkenal sebagai salah satu pendekatan untuk mengaburkan pandangan umat Islam. Sedangkan hakikatnya tarekat tersebut lebih memesongkan dari ajaran Islam sebenar.
Berbeza dengan ajaran sesat yang disebarkan pada masa kini, kebanyakannya tampil menyebarkan dakyah sesatnya secara terang-terangan terutamanya melalui media sosial. Mereka aktif di setiap platform dan sering berinteraksi dengan pengikut-pengikutnya untuk berkongsi ideologi dan menjawab segala pertanyaan pengikutnya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau kisah-kisah nabi yang ditafsirkan sendiri.
Apa yang menghairankan adalah golongan cerdik pandai turut terpengaruh dengan ideologi sesat yang disebarkan. Sebagai contoh ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mana pengasasnya menafsirkan mimpinya dan menguar-uarkan kepada pengikutnya bahawa Imam Mahdi akan turun di Sabah dan arahan untuk mengumpulkan senjata sebagai persediaan menghadapi peperangan. Sedangkan di dalam al-Quran telah menceritakan semua kisah-kisah tersebut 1444 H dahulu, namun mengapa kisah seorang perempuan yang entah darimana dipercayai?
Sesungguhnya, akidah, syariat dan akhlak Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah pegangan yang dijamin kebenarannya. Ajaran selainnya adalah dikira sebagai ajaran sesat boleh dianggap sebagai usaha untuk mengacau bilaukan kestabilan dan keharmonian negara. Implikasi buruknya bukan sahaja terhadap individu, namun juga pasti turut terpalit pada keluarga dan masyarakat. Renung-renungkan.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor – 2015