Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATU-PADULAH SESAMA UMAT ISLAM AGAR NEGARA AMAN DAN HARMONI

BERSATU-PADULAH SESAMA UMAT ISLAM AGAR NEGARA AMAN DAN HARMONI

38
0

Dalam keadaan negara yang sedang genting pada ketika ini, adalah lebih elok sekiranya semua umat Islam di negara ini bersatu-padu dan mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain. Tidak ada solusi lain yang lebih baik pada ketika ini melainkan bersatu-padu dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian di negara ini. Umat Islam wajib menyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia melakukan sesuatu perkara atau tindakan melainkan perkara yang diperintahkan itu mempunyai kebaikan. Malah, Allah SWT berfirman:

“Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah- belah.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Malah, perkara yang diperintahkan Allah SWT ke atas manusia adalah semata-mata untuk menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran. Berdasarkan ayat di atas, ia jelas meminta manusia menjalankan tanggungjawab menyatupadukan ummah dan melarang daripada berpecah-belah. Islam melarang sebarang perkara atau tindakan yang boleh menyebabkan bahaya atau mempunyai potensi untuk mendatangkan bahaya. Menurut ayat di atas juga, dua perkara yang wajib dilakukan umat Islam demi kebaikan sesebuah negara ialah mengadakan usaha mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara dan mengelakkan perkara atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Islam merupakan agama yang mementingkan ukhwah dan perpaduan dalam kalangan penganutnya. Oleh itu, ciri utama dalam semua ibadat yang kita lakukan adalah bersandarkan ukhwah serta perpaduan. Setiap Muslim yang beriman itu terikat kepada tali kekeluargaan, iaitu satu ikatan yang menjulang perpaduan antara kita sementelah ia mampu mengatasi hubungan darah dan kekeluargaan. Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi mereka menjaga ikatan ini dengan bersatu-padu dan menghormati antara satu sama lain demi mewujudkan keamanan dan keharmonian. Sabda Rasulullah SAW:

“Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.” (HR Muslim).

Perpaduan memberi jaminan keamanan, keselamatan dan kemajuan. Terlalu besar faedah dan manfaat yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan bersatu padu. Perpaduan yang teguh dalam kalangan rakyat akan mewujudkan kestabilan dari segi politik dan ekonomi.

Sumber: Harian Metro (18 Mei 2018).