Home Kemanusiaan/Motivasi PERINTAH MENUNDUKKAN PANDANGAN ADALAH TERTAKLUK KEPADA UMAT ISLAM – BUKANLAH BERERTI GOLONGAN...

PERINTAH MENUNDUKKAN PANDANGAN ADALAH TERTAKLUK KEPADA UMAT ISLAM – BUKANLAH BERERTI GOLONGAN WANITA BOLEH MEMBUKA AURAT SESUKA HATI

576
0

Konsep maruah sangat dititikberatkan dalam hubungan lelaki dan wanita hingga Islam menetapkan hukum menutup aurat termasuk antara mahram atau sesama jantina, selain memerintahkan orang beriman untuk menundukkan pandangan. Penetapan hukum sedemikian berasaskan manusia secara fitrahnya memiliki nafsu hingga pasti akan terpancing dan terdorong untuk melihat aurat individu terutama berlainan jantina. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat. Apabila dia keluar (dari rumahnya), syaitan akan menjadikan dia cantik (pada pandangan lelaki). Dan dia akan jauh daripada kasih sayang Allah Taala melainkan apabila dia berada di dalam rumahnya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Hibban).

Dalam surah An – Nur ayat 30, Allah SWT menyuruh lelaki Muslim untuk ‘menundukkan pandangan mereka’, selain menekankan Islam menghormati ajaran agama lain walaupun ketara berbeza dan berlainan khusus dari segi ketuhanan dan syariat. Bagaimanapun, Allah SWT juga memerintahkan kita untuk menjaga maruah dan kemaluan dengan menutup aurat. Walaupun sudah ada ketetapan dalam menjaga pandangan, namun ia bukanlah lesen bagi wanita Islam membuka aurat dengan sesuka hati. Allah SWT juga memerintahkan wanita untuk menutupi belahan dada dengan apa yang mereka gunakan untuk menutup kepala mereka sebelum ini. Ia bertujuan mengelakkan syahwat lelaki ajnabi sekiranya terpandang bahagian berkenaan. Allah SWT berfirman dalam surah An – Nur, ayat 30 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan.”

Oleh itu, umat Islam perlu mematuhi dan mengikut syariat termasuk dalam persoalan akhlak yang berupaya memelihara keselamatan dunia dan akhirat, malah pematuhan itu juga dapat menyelamatkan rakyat bukan Islam sekalipun daripada keruntuhan moral dan salah laku sosial serta jenayah. Kita hendaklah sentiasa berdoa semoga Allah SWT memelihara keislaman, keimanan dan ketakwaan kita semua agar terhindar daripada api neraka yang berpunca kecuaian menyampaikan perkara makruf dan kelekaan daripada menghindari perkara mungkar.

Sumber: Laman Web Masjid Al – Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)