Menjadi lumrah untuk manusia menuntut ilmu. Sedari kecil, kita akan dipupuk budaya membaca dan ditanam perasaan gemar belajar untuk mendapatkan ilmu. Ilmu merupakan perkara yang penting bagi setiap individu terutama untuk umat Islam bagi mencapai kesejahteraan di dunia mahupun akhirat. Bahkan kewajipan menuntut ilmu ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud:
“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”
Malah, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin.” (HR Ibnu Majah).
Cuba kita lihat dalam sejarah, ramai umat Islam terdahulu yang telah berjaya melakar nama dalam bidang-bidang yang diceburi. Ibnu Firnas merupakan manusia pertama yang berjaya mencakar langit dengan penciptaan kapal terbangnya. Ibn al-Nafis pula merupakan antara tokoh perubatan yang sangat ulung yang telah menyumbang terhadap penemuan sistem peredaran darah. Sementara Al-Khawarizmi pula merupakan seorang tokoh dalam bidang matematik, astronomi dan geografi. Kecintaan mereka terhadap ilmu sehingga mampu menjadikan mereka sebagai tokoh yang berjaya membuka mata dunia terhadap bidang-bidang yang diceburi.
Kisah-kisah umat terdahulu inilah yang memberikan semangat kepada diri kita hari ini untuk lebih bersemangat dalam menuntut ilmu. Ini jelas menunjukkan tuntutan umat Islam untuk mencari ilmu tanpa mengira batas usia kerana setiap detik wajar diluangkan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat, sama ada ilmu untuk kebahagian di dunia mahupun kebahagian di akhirat. Ingatlah kata-kata hikmah dari Rasulullah SAW:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Walaupun ia bukanlah sebuah hadis, namun kita boleh menggunakan kata-kata ini sebagai pembakar semangat anda dalam usaha menuntut ilmu.
Sumber: Berita Harian (22 November 2022)