Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN TANAM SIFAT SALING MEMBENCI DI ANTARA UMAT ISLAM BERSATULAH DEMI AGAMA...

JANGAN TANAM SIFAT SALING MEMBENCI DI ANTARA UMAT ISLAM BERSATULAH DEMI AGAMA DAN BANGSA

495
0

Dengan kepesatan teknologi masa kini, ditambah pula dengan kewujudan pelbagai platform media sosial bak cendawan tumbuh selepas hujan telah membuatkan suatu informasi itu disampaikan dengan tidak tepat. Adakah kita sedar selama ini pelbagai ‘posting’ yang kita lihat di media sosial kebanyakannya menjurus kearah menanamkan rasa benci di kalangan umat Islam dan Melayu khususnya? Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di kalangan umat Islam kerana umat Islam itu ukhuwahnya sangat erat. Bukankah Allah SWT dan Rasulullah SAW melarang kita sebagai umat Islam untuk membenci antara satu sama lain? Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tawar menawar harga yang lebih tinggi tanpa ada niat untuk membelinya, janganlah kamu saling benci-membenci….”(HR Muslim).

Sebetulnya, salah satu sebab timbulnya perasaan benci adalah kerana kita takut dan berasa terancam dengan seseorang atau sesuatu kumpulan yang berbeza dengan kita. Keadaan itu menyebabkan berlaku peningkatan perasaan sayang sehingga taksub kepada kumpulan yang ada persamaan dengan kita dan bersikap agresif serta benci kepada setiap kumpulan yang berbeza dengan kita. Keadaan itu menjadi semakin bahaya sekiranya tiada langsung sifat tolak ansur dan terbuka dalam menerima perbezaan. Natijahnya, akan berlaku pertembungan di antara kita bagi menegakkan kebenaran menurut perspektif masing-masing.

Allah SWT mengharamkan ke atas orang-orang yang beriman setiap perkara yang menjatuhkan mereka atau menjerumuskan mereka ke dalam permusuhan dan kebencian. Oleh itu, wajib ke atas setiap Muslim untuk menasihati dirinya sendiri dan berjaga-jaga terhadap rasa benci semata-mata kerana hawa nafsu dan persahabatan serta adat kebiasaan. Kerana semua ini menghalang terjadinya kebencian itu semata-mata kerana Allah SWT, bahkan termasuk ke dalam kategori marah yang diharamkan.

Bersatulah! Bersatu demi agama dan bangsa. Umat Islam tidak boleh kalah dengan provokasi pihak ketiga yang sengaja mahu menimbulkan kebencian dan perpecahan di kalangan Muslim. Ketahuilah, ganjaran bersama Nabi Muhammad SAW di syurga menanti orang beriman yang tidak memiliki perasaan benci kepada sesiapa pun sepanjang hidupnya kerana ia menjadi sifat unggul Baginda. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” (QS al – Hujurat:10).

Sumber: Sinar Harian (25 Januari 2020).