Home Kemanusiaan/Motivasi USAH BERDENDAM SEBALIKNYA BERDAMAI DAN SALING MEMAAFKAN UNTUK MENGHINDARI AMARAH ALLAH SWT

USAH BERDENDAM SEBALIKNYA BERDAMAI DAN SALING MEMAAFKAN UNTUK MENGHINDARI AMARAH ALLAH SWT

676
0

Dendam adalah salah satu sifat buruk yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Namun, pada hakikatnya setiap di antara kita tidak boleh lari dari perasaan sedemikian apabila timbulnya perasaan tidak puas hati ataupun cemburu terhadap satu sama lain. Contoh yang mudah, dalam sesebuah pertandingan. Dalam apapun pertandingan pasti akan ada yang menang dan kalah. Baik dalam arena sukan mahupun dalam pilihan raya. Sabda Rasulullah SAW:

“Jauhkan diri kamu dari hasad kerana sesungguhnya hasad itu akan memakan amalan kebaikan seperti mana api yang membakar kayu.” (HR Abu Daud).

Sesungguhnya, Islam sangat melarang umatnya bersikap berdendam kerana ia bakal mencetuskan situasi sosial yang kurang harmoni, malah tidak mustahil keadaan dalam masyarakat dan negara boleh menjadi tidak aman dan tenteram. Islam mengajar kita dengan amalan bersikap lapang dada dan saling menyayangi antara sesama ummah bukan membalut diri dengan rasa iri dan dendam di dalam hati. Tiada faedahnya menyimpan dendam pada orang lain, hanya kerana perbuatan atau kesilapan individu tersebut kita tidak bahagia. Dan jika anda tidak mampu menahan dan menanggung perasaan amarah anda cuba lah lepaskan dengan perkara lain.

Ingatlah, jika kita menyimpan dendam yang amat berat maka kita tidak akan tenang selamanya. Apa yang perlu kita lakukan? Berdamai dan memaafkan adalah sebaik-baik akhlak seorang Muslim. Memaafkan kesalahan orang lain merupakan sifat orang mulia. Bahkan di dalam al-Quran juga ada disebutkan berkali-kali tentang perkataan maaf. Sesungguhnya memaafkan itu bukanlah bererti satu tanda kelemahan ataupun kekalahan bahkan Allah SWT akan menambah kemuliaan kepada orang yang pemaaf itu. Sabda Rasulullah SAW:

“Dan tidaklah Allah menambah kepada seorang hamba yang pemaaf kecuali kemuliaan.” (HR Muslim).

Sesungguhnya menghiasi diri dengan sifat pemaaf dan menghindarkan rasa dendam adalah amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama dan bermasyarakat. Perlu diingat, bahawa agama kita memerintahkan kita umatnya sentiasa bersifat sabar dan kita dianjurkan agar tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya perbuatan jahat itu hendaklah dibalas dengan cara yang lebih baik iaitu dengan kebaikan dan kemaafan.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)