Setiap umat Islam dituntut agar sentiasa menjaga dan mengukuhkan lagi perpaduan sesama umat Islam yang lain. Ini kerana kesatuan di antara umat Islam itu sangat penting dalam memelihara ukhuwah dan keagungan agama Islam itu sendiri agar tidak dilabel sebagai agama perpecahan. Sering kali kita melihat di media sosial begitu banyak isu-isu yang mengaitkan umat Islam dengan perpecahan, ini sekaligus menimbulkan tanggapan buruk kepada orang bukan Islam yang menyangka agama ini bukanlah agama kedamaian seperti yang didakwa.
Ukhuwwah dan perpaduan adalah penting kerana memberi kekuatan kepada umat Islam. Jika kita tidak bersatu, umat Islam menjadi lemah dan mudah diratah oleh musuh-musuh kita. Persaudaraan adalah tonggak kekuatan umat Islam. Agama kita sangat menitikberatkan persaudaraan dan perpaduan. Perpaduan atas nama akidah Islam memberi kebaikan kepada kita di dunia dan akhirat. Perpaduan selain itu mudah pecah dan hancur. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.” (QS al – Hujurat: 10).
Di antara salah satu punca timbulnya perpecahan dan persengketaan sesama umat Islam adalah kerana adanya penyampian maklumat yang tidak tepat dan juga fitnah-fitnah yang sering ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dalam setiap penerimaan berita yang disampaikan bagi mengelak timbulnya persengketaan sesama Muslim yang lain. Jika berlaku perselisihan, seeloknya berdamailah. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketakwaan itu di sini – sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali – Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (HR Muslim).
Ingatlah, Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara Muslim yang lain. seharusnya kita mengukuhkan lagi perpaduan kita sesama Islam kerana dengan mengukuhkan ukhuwah dan perpaduan dapat membentuk Mukmin yang sejati. Ini seperti dalam firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (QS al – Hujurat: 12).
Sumber: Harian Metro (24 Julai 2021)