Home Kemanusiaan/Motivasi BERKATALAH SESUATU YANG BAIK YANG MENYENANGKAN ORANG LAIN. JIKA TIDAK, LEBIH BAIK...

BERKATALAH SESUATU YANG BAIK YANG MENYENANGKAN ORANG LAIN. JIKA TIDAK, LEBIH BAIK BERDIAM KERANA IA LEBIH DIREDHAI ALLAH SWT

1327
0

Seiring dengan pembangunan kepesatan teknologi di zaman ini, seiring jugalah berjalannya adab dan akhlak manusia di kala ini. Dengan kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Tweeter dan sebagainya, manusia secara senang boleh menzahirkan perasaan mereka melalui tulisan dan percakapan.

Namun apa yang membimbangkan, semakin maju teknologi, semakin hilang adab seseorang hingga boleh menimbulkan kekacauan di dalam negara. Mengambil beberapa contoh seperti kebiadapan seorang pemuda yang mencaci pihak berkuasa dan mengeluarkan kata-kata kesat dan juga kenyataan yang dikeluarkan oleh individu-individu terhadap satu isu panas baru-baru yang terjadi. Ini menunjukkan betapa kroniknya ‘kesakitan’ dari segi akhlak yang dihidapi oleh manusia. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, tahanlah lidah kita daripada membicarakan sesuatu yang tidak baik atau lebih afdhal didiamkan sahaja demi untuk mengelakkan perkara menjadi bertambah buruk. Memang benar jika ada yang salah harus diberi teguran, tetapi bukanlah dengan cara menghina, mencaci dan mencerca serta menyerang keperibadian seseorang. Tetapi teguran haruslah berhikmah dan berasas. Tahukah kita bahawa butir bicara yang mendatangkan kebaikan si pendengar boleh diibaratkan umpama sedekah? Ya benar, ini kerana kata-kata yang baik boleh mengundang kegembiraan kepada orang lain atau mendorong seseorang untuk melakukan kebaikan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk menjaga akhlak dan keperibadian kita dengan mengucapkan perkara yang baik-baik sahaja supaya diri kita sentiasa diredhai Allah di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

“Keselamatan manusia tergantung pada kemampuannya menjaga lisan.” (HR Bukhari).

Sumber: Berita Harian (28 Mac 2015)