Menurut Syeikh Muhammad Saleh Uthaimin bahawa menuntut ilmu adalah suatu yang amat penting kerana ia adalah sebahagian daripada jihad fisabilillah. Hal ini seperti sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Siapa yang mendatangi masjidku (masjid Nabawi), lantas ia mendatanginya hanya untuk niat baik iaitu untuk belajar atau mengajar ilmu di sana, maka kedudukannya seperti mujahid di jalan Allah” (HR Ibnu Majah).
Menuntut ilmu juga adalah penting kerana dengan berilmu akan menjadikan seseorang itu cemerlang di dunia dan di akhirat. Sehubungan itu, umat Islam harus cemerlang supaya hari ini mesti lebih baik dari semalam. Untuk menjadikan diri lebih cemerlang, kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan agar dapat menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi. Umat Islam yang berilmu akan mendapat kejayaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kerana menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan bagi setiap umat Islam.
Dengan ilmu, kita dapat mengenal Allah SWT dan melaksanakan segala suruhanNya serta menjauhi laranganNya. Bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini juga kita memerlukan ilmu supaya dapat mentadbir dan memakmurkan bumi Allah SWT ini seperti yang dikehendaki olehNya. Tahukah anda, Allah SWT juga meletakkan darjat yang tinggi dan istimewa bagi orang yang berilmu dan sedang menuntut ilmu? Kerana apabila kita sedang menuntut sesuatu ilmu, ibarat setapak kita menghampiri pintu syurga.
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga” (HR: Muslim)
Sebenarnya tiada alasan untuk seseorang itu tidak menuntut ilmu. Jalan menuntut ilmu sentiasa terbuka luas dan ini terpulang bagi diri kita bagaimana dan bila untuk kita menguruskannya. Pentingnya menuntut ilmu itu sehingga Allah SWT memberi kelonggaran kepada orang yang menuntut ilmu agar tidak turut serta pergi berperang supaya tinggal dan berperanan mendidik serta membimbing orang lain. Orang yang berilmu pengetahuan mempunyai kelebihan tertentu kerana ia dapat memberi petunjuk kepada kebaikan dan dapat membezakan yang hak dengan yang batil.
Oleh itu, marilah kita menuntut seberapa banyak ilmu di dunia. Jangan buang masa, siapa kata kita tidak boleh menuntut ilmu? Kita ada Allah maha kuasa, kita punya kuasa tenaga, doa sebagai senjata dan kerana itu umat Islam sentiasa boleh. Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan untuk kita tidak menuntut ilmu. Orang yang menuntut ilmu itu, di dunia mereka menabur bakti kepada dirinya, masyarakat dan negara manakala di akhirat kelak akan mendapat kemudahan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Sumber: Sinar Harian “Imbangi ilmu dunia dan akhirat” (5 Januari 2020) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)