Ramadan sudah berlalu pergi dan berganti pula dengan Syawal yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Ibadah puasa di bulan Ramadan boleh diibaratkan sebagai ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Oleh kerana itulah Hari Raya Aidilfitri menjadi tanda kemenangan setelah berjaya mengharunginya. Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda SAW ialah puasa enam hari.
Hukum berpuasa sunat enam Syawal mengikut kepada mazhab Syafie adalah sebagai sunat sepanjang Syawal, sama ada berturut ataupun berpisah. Akan tetapi sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT akan memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat). Sudah tentu ia lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya. Di antara kelebihan puasa enam di bulan Syawal adalah:
1) Pahala sama dengan berpuasa selama setahun. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).
2) Pelengkap amalan fardhu. Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang.
3) Menguatkan hubungan dengan Allah SWT. Dalam satu Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya…” (HR Bukhari).
4) Mendapat ganjaran syurga. Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).” (QS Az – Zumar: 73).
5) Masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan. Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi SAW:
“…Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan.” (Muttafaqun Alaih).
Oleh itu, kekallah beristiqamah dalam melaksanakan kebaikan meskipun Ramadan telah berlalu pergi. Jadikan puasa enam Syawal pada kali ini sebagai pemangkin kepada diri kita untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang hanya beribadah pada waktu tertentu sahaja dan apabila keluar daripada waktu tersebut kita mula mengikut hawa nafsu dan menjadi syaitan laknatullah sebagai ikutan.
Sumber: Harakah Daily, 28 Mei 2020