Sudah sebelas hari kita berada di tahun baru 2023. Hari ini kita masih dikurniakan nikmat umur yang panjang dan kesihatan yang berkekalan. Semuanya dengan limpah kurniaan Allah SWT yang mengizinkan kita semua untuk terus hidup di atas muka bumi ciptaanNya ini. Dialah yang berkuasa atas segala-galanya, Dia berhak untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendakNya. Nikmat hidup yang masih berbaki dalam hidup kita ini adalah satu ketentuan di sisiNya.
Mensyukuri nikmat Allah SWT tidak sekadar dengan ucapan Alhamdulillah. Menurut Imam al-Ghazali bahawa menzahirkan tanda syukur mestilah dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT seperti pelaksanaan rukun Islam di samping menggandakan amalan yang mustahabbah (sunat) seperti solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berlaku ihsan kepada semua makhluk dan sebagainya (Bidayah al-Hidayah). Jika kita berterima kasih kepada pertolongan manusia, maka kita tidak hanya mengucapkan terima kasih sahaja tetapi kita juga sewajarnya membalas budi orang lain dengan sekurang-kurangnya menolongnya pula atau balasan yang lebih dari itu. Jadi, bagaimana pula sepatutnya kita membalas nikmat Allah SWT sebagai Tuhan?
Pertama, mensyukuri segala nikmat yang diberikan dengan hati. Yakni meyakini dan menghayati segala pemberian Allah SWT dengan rasa penuh kegembiraan, reda dan terima seadanya. Syukur hati bukan hanya apabila dikurniakan kesenangan, bahkan juga bersyukur dalam kesusahan yang diuji dengan hati yang sabar dan mengharap ganjaran daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi, maka sebenarnya ia (nikmat itu) daripada Allah. Kemudian apabila kamu ditimpa dengan kesusahan, maka mohonlah pertolongan daripada-Nya”. (QS an – Nahl: 53).
Kedua, bersyukur dengan lidah. Lidah ialah anggota lembut yang tidak bertulang, maka ucapan yang keluar daripada lidah orang bersyukur mestilah yang bersifat al-khayr (kebaikan). Rasulullah SAW berpesan melalui sebuah hadis daripada al-Khuzaie RA bahawa:
“Tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat ialah bercakap perkara yang baik atau diam sahaja” – (HR Muslim).
Yang terakhir, bersyukur dengan perbuatan, iaitu berusaha melakukan kebajikan dan segala bentuk al amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar). Ketahuilah nikmat Allah SWT sangat luas, ia bukan hanya duit ringgit tetapi ia boleh jadi kesihatan tubuh badan, umur yang panjang, rumahtangga yang bahagia, ilmu yang mudah difahami dan ibadah yang khusyuk. Namun jika kita kufur dengan nikmat Allah SWT, maka ingatlah bahawa azab Allah SWT sangat berat. Semoga kita menjadi lebih baik di tahun baharu ini, baik dari aspek hati, lidah dan perbuatan.
Sumber: Harian Metro (4 Januari 2023).