Home Kemanusiaan/Motivasi BERUSAHALAH UNTUK MERAIH KEREDHAAN ALLAH SWT DENGAN MEMPERTINGKATKAN AMAL IBADAH TERUTAMANYA...

BERUSAHALAH UNTUK MERAIH KEREDHAAN ALLAH SWT DENGAN MEMPERTINGKATKAN AMAL IBADAH TERUTAMANYA DI SEPULUH TERAKHIR RAMADHAN

633
0

Sedar tidak sedar, Ramadan sudah pun hampir ke penghujungnya. Kini, sudah memasuki minggu ketiga dalam Ramadan, bagaimana dengan prestasi pelaksanaan ibadah puasa kita pada kali ini? Adakah sama seperti tahun-tahun lepas atau ada peningkatan dari sudut mutu ibadah puasa dan tuntutan Ramadan yang lain?

Mungkin sebahagian daripada kita mungkin belum menghidupkan semangat Ramadan dengan sebaiknya. Mungkin juga, ada yang telah merancang pada awalnya tetapi belum lagi kesampaian melaksanakannya. Begitulah keadaanya seperti tahun-tahun lalu. Namun, kita belum terlewat untuk memastikan amalan Ramadan kita kali ini, bertambah lagi mutunya. Ini kerana kita mampu memerah keringat khususnya pada tiga suku malam, pada lebihan Ramadan yang masih ada ini. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa berpuasa (pada bulan) Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Bukhari dan Muslim).

Mari kita ambil pengajaran daripada peristiwa Perang Badar yang berlaku di dalam bulan Ramadan pada tahun kedua hijrah. Perang Badar merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang menyaksikan tentera orang Islam menang meskipun mereka terdiri daripada jumlah yang kecil berbanding tentera musyrikin Makkah. Apatah lagi tentera umat Islam tidak memiliki kelengkapan perang yang lebih hebat jika dibandingkan musuh-musuh mereka. Meskipun usaha tersebut pada mata kasar manusia tidak mampu untuk mencipta kemenangan, namun ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya. Firman Allah SWT:

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu…” (QS Ali ‘Imran: 160).

Syarat untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT mestilah didahului dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Pendek kata, keampunan daripada Allah SWT tidak datang bergolek, ia hadir dengan usaha daripada diri individu yang telah melakukan dosa dalam kehidupannya. Keampunan daripada Allah SWT merupakan satu misi kecemerlangan buat diri setiap Muslim. Ini kerana untuk memperoleh keampunan Ilahi, seseorang Muslim perlu berusaha ke arah itu, ia tidak datang bergolek. Terbukti bahawa pada bulan Ramadan banyak kecemerlangan yang telah dicapai oleh Islam dan umatnya seperti yang termaktub dalam lipatan sejarah.

Jika direnungkan kelebihan ini, iaitu penghapusan dosa, ia merupakan salah satu keperluan yang terpenting demi kejayaan dan kebahagiaan hakiki setelah mati. Ini kerana jika timbangan dosa lebih berat daripada timbangan pahala, seseorang itu boleh dibalas dengan siksaan neraka. Maka, berusahalah agar dapat menunaikan tanggungjawab tersebut secara konsisten. Sekiranya tiada masalah melakukannya dengan kekal, kita boleh pula merancang untuk menaikkan taraf mutu ibadah wajib kita.

Kesimpulannya, Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam kelihatan lemah, tidak bermaya dan bermalas-malasan. Sebaliknya Ramadan merupakan wadah untuk mencipta kecemerlangan termasuk dengan melipatgandakan amalan khususnya pada sepuluh malam terakhirnya. Jika peluang keemasan sepuluh malam akhir tidak dimanfaatkan sebaiknya, bila lagi masanya untuk kita jadi Muslim cemerlang dengan bebas daripada dosa kehidupan?

Sumber: Harian Metro (20 April 2022)