Home Kemanusiaan/Motivasi JAGA HUBUNGAN BAIK SESAMA MANUSIA SUBURKAN KEHARMONIAN SESAMA JIRAN TETANGGA

JAGA HUBUNGAN BAIK SESAMA MANUSIA SUBURKAN KEHARMONIAN SESAMA JIRAN TETANGGA

522
0

Menjaga hubungan baik sesama manusia itu adalah sesuatu yang dituntut dalam agama Islam. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat)” (QS ar – Ra’d: 21).

Islam menggariskan tatacara hubungan yang jelas bagi menjaga hubungan baik dengan sesama manusia. Kehidupan di dunia akan harmoni sekiranya manusia dapat menjalinkan hubungan yang baik dalam mengurus hidup masing-masing. Allah SWT memerintahkan manusia agar berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah satu kelompok manusia yang sebenarnya paling dekat dalam kehidupan kita. Setiap hari kita berada di sisi jiran dalam menjalani kehidupan seharian.

Bahkan, Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya tentang keperluan menjaga hubungan baik dengan jiran menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (HR Muslim).

Ternyata bahawa hubungan dengan jiran dan sesama manusia merupakan satu agenda besar yang perlu diambil perhatian serius oleh umat Islam. Menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga bukan perkara remeh sepertimana pandangan sesetengah pihak. Adalah sangat mendukacitakan sekiranya ada dalam kalangan umat Islam yang tidak mengenali jirannya sendiri, sedangkan masing-masing mengetahui kehadiran satu sama lain di kawasan rumah sendiri. 

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki hubungan kita dengan jiran tetangga sama ada yang jauh, lebih-lebih lagi yang dekat dengan rumah. Setiap perkara yang ingin kita lakukan perlu mengambil kira sensitiviti dan perasaan jiran tetangga. Menjaga hubungan baik sesama jiran adalah satu aspek penting dalam menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. Ini kerana daripada perbuatan baik dengan jiranlah, kita dapat melatih diri untuk turut menyayangi orang lain lebih-lebih lagi daripada kalangan sesama Muslim. 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).