Perkataan kafir atau ‘al-kufr’ dari Bahasa Arab membawa maksud menutupi sesuatu. Ini bermakna, orang yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan Allah SWT, mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir itu dinamakan kafir.
Perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti. Bahkan di dalam al-Quran sendiri ada surah khas yang dinamakan sebagai Surah al-Kafiruun. Dengan kata lain, perkataan kafir itu merupakan istilah al-Quran yang tidak mengandungi apa-apa maksud penghinaan bahkan satu istilah pengenalan bagi golongan yang masih menutup hatinya menerima Islam. Kesudahan orang kafir selepas mati itu adalah kepercayaan umat Islam dan juga tidak mampu dipaksa untuk dipercayai oleh orang bukan Islam sebagai mana kepercayaan agama lain yang tidak boleh memaksa orang Islam mempercayainya.
Justeru itu, masyarakat bukan Islam tidak perlu terasa hati dengan perkataan kafir kerana ia tidak membawa sebarang maksud penghinaan. Pada masa yang sama, ketika berinteraksi dengan golongan bukan Islam, mereka juga tidak dipanggil dengan panggilan ‘kafir’ kerana nabi sendiri pun tidak memanggil orang kafir sebegitu bagi menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang agama, sebaliknya nabi memanggil nama. Perkataan ‘kafir’ menjelaskan soal akidah, bukan digunakan ketika berikteraksi. Ia adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami oleh masyarakat majmuk.
Sumber: Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)