Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH MARUAH SEBAGAI UMAT ISLAM JANGAN DEDAHKAN AIB SENDIRI YANG MENGUNDANG DOSA...

JAGALAH MARUAH SEBAGAI UMAT ISLAM JANGAN DEDAHKAN AIB SENDIRI YANG MENGUNDANG DOSA DAN KEMURKAAN ALLAH SWT

506
0

Sejak kebelakangan ini, sering kali terlihat pelbagai ‘content’ yang dimuat naik di laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan juga TikTok yang bertujuan untuk membuka aib sendiri dan manusia lain. Antara ‘content-content’ tersebut menyebut tentang kecurangan dalam hubungan rumah tangga, penghutang dan juga pasangan kekasih yang terlanjur. Astaghfirullahalazim! Bukankah dalam agama Islam telah melarang kita untuk membuka aib sendiri dan juga orang lain?

Perbuatan mendedahkan dosa kesalahan sendiri kepada khalayak ramai dilarang kerana ia menutup pintu rahmat Allah SWT yang sangat luas kepada para hamba-Nya. Allah SWT akan mengampunkan semua kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam selagimana tidak terjebak dalam dosa syirik atau menyekutukan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR at – Tirmidzi).

Di mana letaknya akal dan kewarasan seseorang manusia, sedangkan Allah SWT telah menutup aib seseorang hambaNya, sebaliknya mereka pula berbangga menghebohkan per¬buatan keji itu. Mahu mencabar siapa?! Justeru, orang yang membuka keaiban diri sendiri hanya akan membuka pintu kemudaratan terhadap dirinya sendiri. Manusia akan terus memandang serong terhadap diri orang yang mendedahkan kesalahan sendiri. Inilah satu perbuatan yang dilihat menjatuhkan ‘air muka’ sendiri tanpa orang lain berbuat demikian terhadapnya.

Ingatlah, aib dan maruah seseorang manusia lebih penting daripada apa pun di dunia ini. Sekali ia tersebar, maka seluruh alam akan memandang serong kepadanya. Sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa, sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Allah SWT serta memohon kemaafan sesama manusia dan saling menutup aib serta menjaga kehormatan sesama kita. Nabi SAW berpesan:

“Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim).

Sumber: Berita Harian (26 Jun 2019).