Hizbut Tahrir dikategorikan sebagai kumpulan Islam fundamentalis yang mahu mengembalikan pemerintahan negara berkhalifah dengan penyatuan negara-negara Islam. Pertubuhan ini bukan sekadar bermotifkan politik untuk mengambil alih pemerinthan negara-negara di dunia, bahkan ia juga melampaui kepada hal ehwal kefahaman agama yang mana ianya tersasar dari landasan kefahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Di Malaysia, pertubuhan ini dikenali sebagai Hizbut Tahrir Malaysia (HTM). Mereka cuba menyebarkan fahaman dan menghasut masyarakat agar menolak sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan oleh negara Malaysia kerana mendakwa ianya bersifat sekular dan wajib ditukar dengan sistem pemerintahan Islam berkhalifah. Berdasarkan ideologi ini, beberapa negeri di Malaysia seperti Selangor, Pahang, Johor dan Wilayah Persekutuan telah mengharamkan pertubuhan HTM.
Pakar Anti Keganasan turut memberi amaran supaya Malaysia tidak memandang ringan kehadiran HTM lebih-lebih lagi selepas beberapa ahli organisasi tersebut dikesan menyertai demonstrasi di hadapan kedutaan Sweden di Kuala Lumpur baru-baru ini. HTM mungkin tidak melakukan keganasan secara fizikal, tetapi tindakan demonstrasi tersebut dianggap sebagai simbolik keganasan yang bersifat pasif dan terselindung. Justeru itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak mengikuti apa-apa aktiviti anjuran HTM kerana dikhuatiri terpengaruh dengan ideologi ekstrem pertubuhan itu.
Sumber: Berita Tentera Darat Malaysia dan getaran.my – 29JAN 2023