Tidak ada istilah yang tepat dalam menghuraikan terma Islam liberal. Walaupun di Malaysia belum ada mana-mana individu atau kumpulan yang secara jelas menamakan ideologi dan fahaman perjuangan mereka dengan menggunakan terma liberal seperti di Indonesia, Jaringan Islam Liberal (JIL), namun ini tidak bermakna aliran pemikiran ini tidak wujud di Malaysia.
Golongan Islam liberal sering mendakwa bahawa hak asasi manusia sentiasa tidak dipeduli jika Islam terus dipegang dalam hidup. Dakwa pihak liberal lagi, undang-undang Islam perlu mengutamakan kebebasan dan tidakmelanggar hak asasi manusia. Sedangkan tugas dan tanggungjawab menghormati maruah dan martabat manusia disebut berulang kali dalam al-Quran dan hadis. Contohnya dalam Surah al-Tin, ayat 4 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. Ayat ini menunjukkan betapa besarnya perhatian Allah SWT kepada manusia.
Namun, manusia masih tidak sedar bahawa syariat itulah sebenarnya yang mengikat manusia dari melakukan perkara-perkara yang boleh ‘merosakkan’ diri. Contohnya, golongan liberal mengatakan tidak perlu untuk memakai tudung kerana ia sebenarnya adalah adat orang arab bukannya syariat Islam. Namun sebenarnya menutup aurat itu mempunyai lebih banyak hikmah. Dengan menutup aurat tidak menjejaskan apa sahaja pekerjaan yang dilakukan, namun bagaimana cara kita untuk mengadaptasi diri semasa bersosial amatlah penting. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa, syariat itu tidak salah, hukum itu tidak salah, namun individu yang melaksanakan atau menginterpretasikan itu sebenarnya telah memesongkan kebenaran.
Sumber: Jurnal Islamiyyat 41 (2) 2019: 39-49