Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH HATI SESAMA MUSLIM KERANA DI SITULAH MULANYA SESEBUAH UKHUWAH YANG UTUH

JAGALAH HATI SESAMA MUSLIM KERANA DI SITULAH MULANYA SESEBUAH UKHUWAH YANG UTUH

603
0

Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa, sudah menjadi kewajipan kita untuk menjaga hati dari sifat-sifat tercela, seperti dengki, sombong, putus asa dan sebagainya. Tentunya menjaga hati bukanlah perkara mudah. Pada dasarnya, hati manusia sifatnya mudah berbolak-balik. Apabila kita sanggup menjaga hati tetap bersih maka in shaa Allah segala perbuatan kita juga akan baik. Sebaliknya, jika hati telah rosakak, maka rosaklah semua dalaman diri kita.

Perhatian Nabi SAW terhadap pembinaan akhlak mulia dalam diri umatnya memang cukup luar biasa. Antaranya adalah dalam hal menjaga hati sesama Muslim kerana ia asas kekuatan dan perpaduan umat Islam. Hal ini amat dititikberatkan baginda walaupun dalam kumpulan yang paling kecil. Abdullah bin Umar RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila ada tiga orang, janganlah yang dua orang berbisik-bisik tanpa melibatkan orang yang ketiga.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menjaga hati sesama Muslim juga termasuk menjaga maruah dirinya agar tidak mudah dicalarkan atau diburukkan oleh orang lain. Bahkan di zaman Rasulullah SAW, Baginda pernah menegur Aisyah RA atas perbuatannya memburukkan Safiyyah RA. Aisyah bercerita:

“Aku pernah berkata kepada Nabi SAW, ‘Cukuplah bagimu Safiyyah itu seperti ini dan seperti ini’, maksudnya beliau bertubuh pendek. Lalu baginda menegur: “Sungguh engkau telah mengatakan suatu kalimah, sekiranya ia dicampur dengan air laut, nescaya ia akan dapat menjadikannya berubah rasa!” (HR Abu Daud dan At – Tirmidzi).

Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kita bahawa seorang Muslim yang baik akan saling menjaga saudara Muslimnya yang lain demi mengukuhkan ukhuwah Islamiyyah sesama umat Islam? Maka dari sinilah bermulanya titik tolak bagi seorang Muslim menjaga hati saudara seagamanya agar ukhuwah kian utuh. Bayangkan, bagaimana jika kita mahukan ukhuwah Islamiyyah dari kalangan saudara seagama kita tetapi kita sendiri tidak menjaga hati mereka, tidak adil bukan? Oleh itu, belajarlah untuk menjaga hati saudara Muslim kita demi kepentingan ukhuwah sesama Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Kamu tidak akan masuk syurga sebelum kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sebelum kamu saling cinta-mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu kerjakan, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai? – Sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Riwayat Muslim).
Justeru, Muslim pada hari ini disarankan untuk menjaga hati sesama Muslim yang lainnya kerana di situ lah bermulanya sesebuah ukhuwah yang utuh. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara”. (QS Al – Hujurat: 10).

Sumber: Portal DakwahdanTarbiah.com (https://dakwahdantarbiah.com/ukhuwah-islamiyah-tarif-pemeliharaan-dan-adab-adabnya)