Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEDERHANA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN MERUPAKAN SUATU AKHLAK YANG TERPUJI

BERSEDERHANA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN MERUPAKAN SUATU AKHLAK YANG TERPUJI

1061
0

Islam menuntut setiap insan supaya berusaha mengejar dan mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah dengan bersederhana. Akan tetapi dalam masa yang sama, seseorang itu perlulah ada ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati besok pagi.” (HR Ibn Asakir).

Dalam mengharungi perjalanan sebagai seorang khalifah di bumi Allah SWT, kita perlu mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat kerana kejayaan kehidupan akhirat bergantung kepada kejayaan hidup di dunia terutama dalam mencari redha Allah SWT. Kita tidak boleh berat sebelah timbangan kerana ini akan menimbulkan ketidakseimbangan. Misalnya, jika kita terlalu memberi fokus kepada kehidupan dunia dan lupa akan melakukan ibadah untuk kehidupan akhirat, maka kita akan rugi pada hari kiamat dan begitu juga sebaliknya.

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya. Sewajarnya sebagai umat Baginda SAW, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim. Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud:

“Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (HR Baihaqi).

Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab baik. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan sama ada di dunia serta akhirat.

Sumber: Facebook Syamsul Amri Ismail Official