Golongan Syiah beranggapan bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saidina Ali adalah individu yang paling layak untuk menjadi pengganti Rasulullah atas keterikatan sebagai ahli bait. Namun, dalam beberapa keadaan setelah bermusyuarah, para sahabat telah melantik Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai pemimpin pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Perkara ini telah memberi anggapan kepada pengikut Syiah sehingga mereka mendakwa bahawa semua sahabat ini telah berkomplot untuk meminggirkan Saidina Ali dari menyandang jawatan tersebut. Sedangkan faktanya tidak begitu dan pengikut Syiah ini telah berlebih-lebihan dalam hal berkenaan. Golongan Syiah yang mengkafirkan para sahabat ini secara tidak langsungnya telah memusnahkan sumber kedua berhukum dalam Islam iaitu hadis.
Jika dilihat secara teliti, kebanyakan periwayat hadis adalah dalam kalangan para sahabat iaitu yang dikatakan sebagai golongan yang mendengar secara langsung sabda nabi, yang melihat secara langsung perbuatan dan tingkahlaku nabi serta yang hidup bersama (sezaman) dengan Nabi Muhammad SAW. Apabila mereka mengkafirkan sahabat, secara halusnya mereka dianggap mahu menolak sumber kedua berhukum dalam Islam.
Hal ini menunjukkan bahawa ia adalah gerakan terancang mereka untuk jangka masa panjang supaya semua umat Islam (ahli Sunnah wal jamaah) mempertikaikan hadis. Pada masa yang sama golongan Syiah ini telah membuat hadis mereka sendiri dan beramal mengikut imam-imam besar Syiah.
Sedarlah wahai umat Islam bahawa Syiah bukanlah sebahagian daripada mazhab dalam Islam tetapi mereka secara jelasnya terpesong dari ajaran Islam sebenar dan dikategorikan sebagai ajaran sesat yang merosakkan akidah umat Islam.
Sumber: Harian Metro – 02 DIS 2018.