Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI PERPECAHAN DAN PERBALAHAN DEMI KEHARMONIAN DAN KEKUATAN UMAT ISLAM

HINDARI PERPECAHAN DAN PERBALAHAN DEMI KEHARMONIAN DAN KEKUATAN UMAT ISLAM

548
0

Umat Islam pada hari ini diseru untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan di antara mereka bagi mengelakkan perpecahan yang besar. Lihat sahaja apa yang berlaku di negara-negara Islam Timur Tengah, mereka berpecah-belah dan berbalah demi merebut kekuasaan yang mereka sendiri tidak boleh mengawalnya dan hanya mahukan demi tuntutan nafsu semata-mata. Namun, pada hari ini keadaan menjadi sebaliknya apabila ada di kalangan kita yang sudah mula mengikut rentak mereka.

Masalah ini telah lama menular dan berulang kali diperkatakan serta cuba untuk ditangani, namun sehingga hari ini masih tiada penyelesaian yang efisien dan terbaik dilakukan. Telah berkurun umat Islam negara ini khususnya Melayu berada dalam dilema perpecahan dan perpisahan yang berpunca dari pelbagai faktor seperti politik, kepercayaan, dan pegangan agama. Keadaan ini amatlah jauh dari fitrah orang yang beriman yang dijelaskan Allah dalam ayat di atas bahawa umat Islam itu bersaudara.

Firman Allah SWT:

“Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS al-Hujurat: 10)

Dalam hal ini, sebagai umat Islam yang patuh dengan ajaran agamanya, marilah kita semua kembali kepada panduan kita iaitu al-Quran dan As-Sunnah. Apabila umat Islam berpecah-belah, maka akan ada pihak ketiga yang cukup suka dengan keadaan tersebut dan mereka mengambil kesempatan dengan menghasut kita supaya untuk hidup dalam keadaan berpuak-puak. Apabila umat Islam semakin berpuak-puak, maka mudahlah mereka untuk meruntuhkan akidah dan kepercayaan kita dengan sekelip mata. Kukuhkan perpaduan, kembali kepada fitrah asal, barulah hidup sebagai seorang Muslim rukun dan harmoni.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaithan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).” (HR Al-Nasa’ie: 4020)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan “BAYAN LINNAS SIRI KE-159: MUKTAMAR ‘’KESATUAN ISLAM: BAHAYA BERPUAK DAN BERPECAH BELAH’’ (24 Disember 2018) dan Jabatan Mufti Negeri Perak “Perpecahan Umat Islam Malaysia Dari Sudut Aqidah dan Fiqh”