Hidup di dunia ini kita tidak semestinya sentiasa berada di atas, sesekali kita akan berada di bawah jua. Namun, apabila kita berada di bawah, jangan pula kita iri hati dengan pihak yang berada di atas. Mempunyai terlalu banyak perasaan yang negatif akan mengakibatkan hati dan jiwa kita sentiasa kotor. Apabila hati semakin kotor, maka kita semakin jauh daripada Allah SWT. Mahukah kita sebagai umat Islam jauh daripada Sang Pencipta?
Untuk itu, kita memerlukan semangat kuat untuk membersihkan hati daripada segala kekotoran oleh nafsu dan hasutan syaitan yang merosakkan kerana bukan senang melawan godaan yang menjurus kepada perkara melalaikan. Kita hendaklah sentiasa berusaha mencari kebaikan dalam hidup, menyucikan jiwa dengan melakukan amal ibadah yang diredhai Allah SWT. Usaha membina hati yang bersih memerlukan kita bercakap perkara baik, banyak berzikir, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT.
Lalu, bagaimana caranya untuk kita membersihkan hati yang kotor agar kembali bersih? Banyakkanlah dalam membaca ‘taa’wwuz’ iaitu ‘a’uzubillahi minassyaitonirrajim.’ Ia ibarat penyapu dan mop pembersih hati. Seperti mana kita membersihkan diri daripada segala kekotoran lahiriah, menyucikan diri dengan mengangkat hadas, mengambil wuduk sebelum menunaikan solat, begitu juga hati perlu disucikan sebelum dipersembahkan kepada Allah SWT apabila tiba waktunya. Selain itu, ‘bersihkanlah’ lagi hati kita dengan pembacaan dan penghayatan dalam membaca al – Quran. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.” (QS al – Hijr: 42).
Oleh itu, marilah bersihkan jiwa dan hati kita agar sentiasa bersih supaya kita boleh hidup dengan tenang dan damai. Bukankah Allah SWT itu berkuasa ke atas setiap hambaNya? Mohonlah ketenangan daripada Allah SWT seperti mana sabda Rasulullah SAW:
“Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.” (HR Baihaqi).
Sumber: Harian Metro (25 Januari 2020)