Home Kemanusiaan/Motivasi AMBILLAH PELUANG DI BULAN SYAWAL YANG MULIA INI DENGAN MENYUBURKAN UKHUWAH SESAMA...

AMBILLAH PELUANG DI BULAN SYAWAL YANG MULIA INI DENGAN MENYUBURKAN UKHUWAH SESAMA UMAT ISLAM

314
0

Masih kita berada di bulan Syawal yang mulia, bulan yang juga penuh dengan keberkatan selain daripada bulan Ramadan. Di kala ini, pasti ada sebahagian daripada kita yang sedang berseronok menghadiri majlis rumah terbuka sahabat handai dan juga sanak saudara. Ia suatu perbuatan yang bagus dan amat digalakkan di dalam agama kerana melakukan amalan ziarah. Namun, dalam pada kita berziarah dan menikmati juadah sambutan rumah terbuka, jangan kita sesekali lupakan tradisi untuk menjalinkan kembali ukhuwah sesama kita sebagai Muslim yang bersaudara. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (QS al – Hujurat: 10).

Sepertimana sudah menjadi amalan saban tahun di Malaysia, suasana hari raya dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan baik sesama insan. Keadaan ini merupakan satu perkara baik yang perlu disemarakkan agar hubungan kita sesama umat Islam terus erat. Ini bertepatan dengan nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Jadilah kalian para hamba Allah yang bersaudara.” (HR Muslim).

Jadi, ambillah peluang di bulan Syawal ini dengan menyuburkan kembali ukhuwah sesama Muslim. Tidak ada salahnya jika kita memulakan dahulu salam perdamaian ini malah Allah SWT semakin sayang kepada kita kerana memulakan hubungan damai ini. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Ada kalanya kita tidak sedar bahawa tindakan kita telah mengguris hati dan perasaan sahabat yang berada di sekeliling. Justeru, amalan maaf memaafkan antara satu sama lain merupakan perkara baik yang perlu diamalkan.

Islam adalah agama yang sangat mementingkan hubungan sesama manusia. Kehadiran Syawal sebagai bulan yang diberkati perlu dimanfaatkan untuk menyuburkan ukhuwah sesama umat Islam serta menyerlahkan keindahan Islam menerusi hubungan baik dengan orang bukan Islam.

Sumber: Harian Metro (1 Mei 2023)