Ironinya, pertubuhan Hizbut Tahrir sangat bijak dengan memainkan isu Khilafah yang mendakwa mereka berjuang untuk menegakkan Khilafah Islamiyah sehingga mendapat simpati daripada umat Islam untuk menyokong pergerakannya. Namun, hakikatnya pengasasnya iaitu Taqiyuddin an-Nabhani telah mengeluarkan ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui tulisan dan risalah-risalah yang diterbitkan.
Sebagai contoh Hizbut Tahrir mendakwa perbuatan manusia tiada kaitan dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t., menolak hadis ‘ahad’ yang digunakan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam masalah berhubung akidah dan mengeluarkan hukum atau syariat yang bercanggah dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bahkan dalam hal akidah, pegangan mereka lebih cenderung kepada pegangan akidah golongan Qodariyah dan Muktazilah yang banyak bergantung berdasarkan akal.
Dalam usaha untuk menegakkan sistem Khilafah, mereka mencetuskan kekacauan dengan mengajak masyarakat menolak sistem pemerintahan dan sistem pentadbiran yang ada secara total dan berusaha ke arah untuk menggulingkan kerajaan yang sah. Dalam hal yang berhubung dengan hukum dan syariat, Hizbut Tahrir mengeluarkan hukum-hukum yang pelik yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya adalah keharusan bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, boleh mencium perempuan yang ‘ajnabiyyah’, tidak haram berjalan untuk tujuan berzina atau liwat tetapi yang haram hanya perbuatan zina atau liwat sahaja, sesiapa yang mati tidak berbai’ah kepada Khalifah mereka dianggap sebagai mati dalam jahiliyah dan sebagainya.
Berdasarkan pegangan asas dalam Hizbut Tahrir tersebut yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia memperlihatkan fahaman Hizbut Tahrir merupakan virus yang sangat bahaya bagi umat Islam kerana mereka boleh mempengaruhi umat Islam melalui pelbagai strategi dan siri dakyah yang halus serta licik untuk mempengaruhi serta memporak-perandakan umat Islam khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai asas kukuh dalam ajaran agama Islam yang sebenar.
Sumber: Ahmad Faidzurrahim (2012), Buku ‘Menyingkap Hakikat Sebenar Hizbut Tahrir’.