Home Ektremisme/radikalisme PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA DARI ANCAMAN KEGANASAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA DARI ANCAMAN KEGANASAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

427
0

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai beberapa siri penjajahan dan berpengalaman dalam menghadapi ancaman dari luar dan dalam negara. Meskipun Malaysia menunjukkan peningkatan yang semakin baik sepertimana dalam Indeks Keganasan Global (GTI) iaitu berada di kedudukan ke-75 pada tahun 2022 berbanding tempat ke-68 semasa 2021, namun langkah pembendungan, pemantauan serta penguatkuasaan terhadap segala ancaman perlu dilakukan secara berterusan.

Ancaman keselamatan yang dihadapi pada masa ini adalah bersifat ‘asymmetrical’ iaitu bersifat tidak seimbang. Jika dahulu negara pernah menghadapi ancaman pihak komunis sehingga terjadinya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kini negara berdpan pula dengan ancaman keganasan, puak-puak pelampau serta ekstrimis dan ancaman keselamatan siber.

Faktor kepada ancaman keselamatan dan perpaduan ini dikembangkan lagi melalui kepesatan era globalisasi jaringan dunia tanpa sempadan dan teknologi yang semakin canggih dan terkini. Nilai-nilai kenegaraan yang berkisar kepada komponen sejarah, budaya, bangsa, agama, politik dan ekonomi dapat dengan mudahnya dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan pelbagai ancaman keselamatan terhadap perpaduan dan nilai kemakmuran sesebuah negara.

Justeru itu, tanggungjawab dalam menjaga kedaulatan dan keharmonian negara ini bukan hanya terfokus kepada penguatkuasa keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malah setiap warganegara perlu mempunyai rasa tanggungjawab yang sama dengan cara menyederhanakan diri dalam kehidupan iaitu tidak terlalu taksub dengan pegangan politik, tidak taksub kepada mana-mana ‘tok guru’ dalam apa jua agama dan sebagainya. Hal ini kerana ketaksuban itulah menjadi salah satu punca tercetusnya persengketaan seterusnya membuka ruang bibit-bibit keganasan. Hindarilah diri dari terpengaruh dengan situasi-situasi yang dilihat mampu mencabar kedaulatan negara demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- MEI 2023, Majlis Keselaman Negara – APR 2023, Bernama – MEI 2023