Home Ajaran Sesat WASPADA PEMBOHONGAN ‘TOK GURU’ AJARAN SESAT!!! MENDAKWA DIRI SEBAGAI IMAM MAHDI SEDANGKAN...

WASPADA PEMBOHONGAN ‘TOK GURU’ AJARAN SESAT!!! MENDAKWA DIRI SEBAGAI IMAM MAHDI SEDANGKAN BERKETURUNAN MELAYU DAN TIDAK PANDAI BERBAHASA ARAB

591
0

Pada zaman moden ini manusia khususnya umat Islam masih lagi dilihat terpengaruh dengan keajaiban, perkara-perkara pelik dan ganjil yang mampu dilakukan oleh seseorang manusia lain, lantas diagung-agungkan malah disembah sedangkan ianya adalah satu perkara yang menyimpang jauh dari syariat Islam.

Kenyataan yang lazimnya dilakukan oleh ‘tok guru’ ajaran sesat adalah mendakwa dirinya Imam Mahdi yang dibangkitkan sebagai penyelamat umat pada akhir zaman. Dakwaan ini dapat dikesan pembohongannya secara jelas apabila kita meneliti ciri-ciri Imam Mahdi yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda. Antara ciri-ciri utama Imam Mahdi yang dinyatakan dalam hadis baginda ialah beliau berketurunan Arab Quraisy. Justeru, adalah sangat melucukan apabila terdapat individu berbangsa Melayu dan tidak mengerti Bahasa Arab, bahkan jahil dalam asas-asas agama tanpa malunya mendabik dada mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi.

Ajaran sesat juga boleh dikesan melalui dakwaan ganjil ‘tok guru’. Contohnya dia mendakwa boleh menguasai jin dan berupaya mengarahkan mereka mengikut arahannya dan menundukkan binatang buas di hutan. Sedangkan kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman a.s. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Musli, Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya jin Ifrit telah muncul di hadapanku secara tiba-tiba pada malam tadi, Allah telah membantuku menguasainya. Aku ingin mengikatnya di salah satu tiang di antara tiang-tiang masjid sehinggalah menjelang waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Tetapi aku kemudiannya teringat kepada perkataan saudaraku Nabi Sulaiman yang pernah berdoa: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh sesiapa pun setelahku”. Maka aku pun melepaskan (Jin Ifrit itu) pergi dengan hinanya.”

Jelas hadis ini memberi gambaran bahawa mana-mana individu yang mendakwa boleh menguasai jin sebenarnya sedang melakukan pembohongan yang nyata untuk mempengaruhi manusia mengikutinya. Justeru itu, telitilah dahulu setiap dakwaan oleh mana-mana individu yang mempunyai ciri-ciri di atas, kerana jelasnya ayat-ayat al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi SAW telah menjelaskan segala perkara berkaitan suruhan dan larangan Allah SWT. Apabila ada dakwaan sepertimana dilantik menjadi nabi akhir zaman, mengaku sebagai Imam Mahdi, mempunyai ‘karamah’, maka ketahuilah bahawa ianya adalah ajaran sesat yang terpesong akidahnya dari ajaran Islam yang sebenar.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor