Pada zaman kini, umat Islam hanya sekadar pada nama adalah tidak menghairankan. Kadang kala perbuatan ini adalah ingin mengaburkan mata pihak keluarga, rakan-rakan atau menjaga kepentingan masing-masing dan sebab itu ianya disembunyikan. Sedangkan tiada lagi iman di dada akibat terpengaruh dengan gerakan kristianisasi secara sedar.
Salah satu bentuk tipu muslihat yang digunakan oleh gerakan kristianisasi kini adalah apa yang disebutkan sebagai gerakan dalaman (insider movement). Gerakan ini dimaksudkan bahawa apabila seseorang Islam itu murtad, dia tidak perlu memberitahu sesiapa termasuk ibu bapa mereka sendiri dan terus berkekalan tinggal dalam masyarakat Islam. Mereka juga tidak perlu menzahirkannya dengan menghadiri upacara di gereja. Sebab itu golongan ini turut digelar sebagai penganut Kristian tanpa gereja (Churchless Christianity).
Perkara ini dapat dikaitkan dengan sebuah kisah seorang mahasiswa IPT di Lembah Klang yang mati kemalangan dan apabila diangkat jenazahnya ternampak rantai salib yang terselindung di bawah tudung yang dipakainya. Ibu bapa si mati tidak pernah mengetahui atau mengesyaki bahawa anaknya telah pun dimurtadkan. Penganut ‘Churchless Christianity’ ini disarankan supaya mengekalkan identiti luaran mereka sebagai seorang yang masih Islam.
Bagi orang-orang Islam yang murtad ke agama Kristian, mereka digelar sebagai ‘Muslim Background Believers’ (MBB). Mereka dikategorikan kepada enam kumpulan merangkumi spektrim C1 hingga C6. Bagi orang Islam yang murtad dan menganuti agama Kristian tetapi tidak langsung menzahirkan kehidupan dan peribadatan mereka sebagai seorang Kristian, mereka ini dikategorikan sebagai C6. Golongan C6 ini meneruskan kehidupan sama seperti orang Islam lain, malah dibiarkan terus mengucap dua kalimah syahadah. Kedua-dua golongan C5 dan C6 seperti yang dipaparkan itulah yang dirangkumkan sebagai ‘gerakan dalaman’.
Jika berlaku kematian terhadap golongan C5 atau C6 ini, pihak gereja tidak akan menuntut mayat mereka, sebaliknya membiarkan keluarga si mati menguruskan jenazah mengikut upacara Islam. Pihak gereja akan melakukan upacara untuk si mati secara berasingan di gereja tanpa pengetahuan keluarga si mati. Hal ini bertujuan agar masyarakat Islam tidak digemparkan dengan isu pemurtadan. Maka lama-kelamaan sensitivity terhadap isu pemurtadan akan hilang secara beransur-ansur dalam kalangan masyarakat Islam.
Sumber: Kertas Pembentangan Konvensyen Ilmuan Islam Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan ke-85 Duli Yan g Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan –DIS 2003