Home Kemanusiaan/Motivasi MAS KAHWIN SEKEPING TIKET KONSERT COLDPLAY – MAHAR PERKAHWINAN DARI SUDUT PANDANG...

MAS KAHWIN SEKEPING TIKET KONSERT COLDPLAY – MAHAR PERKAHWINAN DARI SUDUT PANDANG ISLAM

266
0

Tular di media sosial di mana satu video majlis resepsi pernikahan yang hangat diperkatakan apabila sepasang pengantin menggunakan tiket konsert Coldplay sebagai mas kahwin bagi perkahwinan mereka. Walaupun majlis tersebut bukan dilakukan di Malaysia, akan tetapi ia tetap salah di sisi syariat Islam. Artikel ini ditulis untuk memberikan pencerahan mengenai isu tersebut agar tidak berlaku kecelaruan dari segi mahar oleh bakal – bakal pengantin pada masa hadapan.

Sejak isu ini tular, ramai yang mempersoalkan adakah akad nikah berkenaan sah di sisi syariat Islam? Menurut kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, pemberian tiket konsert band terkenal England itu adalah tidak sah kerana ia tidak mempunyai nilai. Ini kerana mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai dan berharga dan ia merupakan satu pemberian suami kepada isteri. Jika gagal penuhi mas kahwin, wajib bayar semula hutang itu. Sedangkan tiket konsert tersebut tidak mempunyai nilai dan bercanggah dari segi syarak. Walaupun di dalam video tersebut tidak dinyatakan berapa dan apakah mas kahwin dan hanya bergantung kepada 21 gram emas dan seperangkat alat solat saat diijabkabul, sesuatu perkahwinan itu tetap sah dihukum syarak. Namun, jika hanya tiket Coldplay dijadikan sebagai mas kahwin maka ianya tidak sah kerana disifatkan tiada nilai.

Perlu diketahui bahawa penetapan mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan bahawa mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia. Begitu juga untuk membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan dirinya dengan keperluan perkahwinan, seperti pakaian dan perbelanjaan.

Selain itu, ia juga sebagai tanda menzahirkan kemuliaan kaum wanita dan sebagai lambang kesucian dan ketinggian wanita dalam Islam. Begitu juga ia sebagai tanda kesungguhan lelaki dalam membina hubungan dengan seseorang wanita di samping bertujuan untuk menzahirkan keutamaan dan kepentingan sebuah perkahwinan. Firman Allah SWT:

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin- mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib…” (QS An – Nisa’: 4).

Sesebuah mas kahwin akan membawa perasaan redha oleh banyak pihak termasuklah isteri dan keluarga masing-masing. Ini melambangkan perbezaan yang ketara antara akad nikah Islam dengan yang lain. Oleh itu, buat para pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, tetapkanlah mahar yang sesuai mengikut yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam di negeri masing – masing. Ia sebagai tanda penghargaan buat pasangan yang sudi bersama – sama melayari bahtera rumah tangga dengan ikhlas, kasih sayang, mawaddah dan rahmah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.