Home Ateis KEJADIAN FENOMENA ALAM SEBAGAI TANDA KEWUJUDAN ALLAH SWT ITU BENAR ADALAH BUKTI...

KEJADIAN FENOMENA ALAM SEBAGAI TANDA KEWUJUDAN ALLAH SWT ITU BENAR ADALAH BUKTI KUKUH BAGI MENYANGKAL DAKWAAN ATEIS

313
0

Ilmu berkaitan sains semasa juga boleh dimanfaatkan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Banyak fenomena alam semesta yang apabila dikaji secara sainstifik, boleh menafikan pendapat yang mengatakan alam ini wujud dengan sendirinya. Stephen Hawking dalam bukunya ‘A Brief History of Time’ menyatakan: “Sekiranya laju pengembangan satu detik selepas dentuman besar (Teori Big Bang) itu lebih kecil, bahkan daripada satu bahagian per seratus ribu juta, alam semesta ini akan hancur sebelum ia mencapai ukuran sekarang”.

Sememangnya kejadian awal alam semesta berlaku melalui satu perancangan yang begitu teliti. Andai kata ianya berlaku secara kebetulan, bagaimana mungkin dentuman yang dahsyat itu boleh menghasilkan susunan objek-objek alam yang begitu tepat dan luar biasa? Misalnya perjalanan matahari dan bulan yang teratur menghasilkan fenomena pertukaran malam dan siang yang sentiasa menepati waktunya. Selain itu, kedudukan bumi dengan matahari terletak jarak kira-kira 150 juta kilometer membolehkan manusia serta flora dan fauna hidup selesa di muka bumi.

Persoalannya, siapakah yang menentukan kedudukan bumi ini yang begitu tepat? Tidak mungkin bumi boleh menentukan kedudukannya sendiri tanpa ada arahan atau kuasa. Maka, sudah tentulah Allah SWT, Tuhan yang Maha Pencipta, Maha berkuasa dan Maha Mengetahui segala ciptaanNya, juga Tuhan yang mentadbir perjalanan alam semesta. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj, ayat 65, maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat bahawa Allah mempermudah untuk kamu apa yang ada di bumi. Bahtera yang berlayar di lautan berlayar dengan izin-Nya. Dan Dia menahan (objek-objek) langit daripada jatuh ke bumi. Semuanya berlaku dengan izin-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Penyayang kepada manusia”. Renung-renungkan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia