Home Hizbut Tahrir JANGAN TERPENGARUH DENGAN TAFSIRAN ‘DEMOKRASI’ OLEH HIZBUT TAHRIR!!! SATU UNDI ANDA YANG...

JANGAN TERPENGARUH DENGAN TAFSIRAN ‘DEMOKRASI’ OLEH HIZBUT TAHRIR!!! SATU UNDI ANDA YANG TIDAK DILAKSANAKAN BAKAL MEMPENGARUHI MASA HADAPAN NEGARA

563
0

Dalam pemikiran dakwah Hizbut Tahrir juga, mereka menyatakan bahawa pilihanraya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang kufur. Barang siapa yang terlibat dengan sistem demokrasi, maka mereka berdosa dan juga bersubahat dengan sistem kufur. Mereka juga mengancam mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan Islam melalui saluran demokrasi.

Bagi Hizbut Tahrir, gerakan Islam yang memilih jalan harmoni dan aman adalah berdosa kerana perjuangan yang paling utama adalah mengembalikan sistem Khilafah yang merupakan sistem Islam ciptaan Tuhan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Mereka juga percaya, perjuangan menegakkan sistem khilafah “haram” dilakukan melalui saluran demokrasi yang aman kerana perjuangan Islam perlu dilakukan mengikut manhaj Rasulullah SAW yang mana Baginda telah mendahulukan perang pemikiran, diikuti revolusi pemikiran masyarakat seluruhnya dan berakhir dengan revolusi politik. Sedangkan penafsiran sebegini ternyata salah.

Bagi Hizbut Tahrir, selagi tidak tertegaknya Khilafah, maka selagi itulah umat Islam berada dalam keadaan berdosa. Malah bagi mereka, proses terakhir untuk menegakkan Khilafah dalam sesebuah negara ialah dengan mensyaratkan wajib bagi umat Islam untuk meminta pertolongan dengan mana-mana kuasa yang kuat sama ada Islam atau bukan Islam. Bagi mereka, jika Amerika sekalipun sudi untuk membantu umat Islam untuk membina Khilifah Islamiyyah, maka mereka boleh meminta pertolongan daripada kuasa tersebut.

Apa yang boleh disimpulkan daripada pemikiran Hizbut Tahrir ini, mereka lebih cenderung untuk bekerjasama dengan orang Barat demi menegakkan Khilafah. Jika ini berlaku sudah pasti akan berlakunya konflik sehingga boleh mengakibatkan pertumpahan darah. Bukankah jalan demokrasi adalah jalan yang lebih aman dan lebih menjamin keharmonian. Dengan syarat biarlah ianya dilaksanakan dengan telus dan penuh integriti. Oleh itu, janganlah terpengaruh dengan ideologi Hizbut Tahrir kerana satu undi anda yang tidak dilaksanakan itu akibatnya boleh menjejaskan masa hadapan negara.

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS