Home Kemanusiaan/Motivasi UKHUWAH DI KALANGAN UMAT ISLAM SEMAKIN LUNTUR PERKUKUHKAN SILATURRAHIM DEMI KESEJAHTERAAN AGAMA

UKHUWAH DI KALANGAN UMAT ISLAM SEMAKIN LUNTUR PERKUKUHKAN SILATURRAHIM DEMI KESEJAHTERAAN AGAMA

298
0

Allah SWT berfirman:

“Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (QS An – Nisa’: 1).

Islam amat menekankan kepada perpaduan ummah. Banyak ayat al-Quran dan pesanan Nabi SAW yang menjuruskan kepada perlunya kita sebagai umat Islam untuk sentiasa berwatak sebagai umat yang mengutamakan hubungan sesama mukmin dan manusia lain. Namun, amat malang sekali apabila seruan ke arah persaudaraan dan perpaduan itu sering kali nampak kian meluntur apabila masyarakat kini lebih banyak terdorong mengikut kehendak emosi dan nafsu demi kepentingan diri dan puak sendiri.

Perlu kita ketahui bahawa Rasulullah SAW tidak pernah sunyi dari mendidik kita dalam aspek memperkukuhkan hubungan perpaduan sesama ummah. Begitu banyak pesanan Baginda, lalu mengapa kita perlu bersengketa hanya kerana hal yang remeh? Lebih – lebih lagi apabila ia berkaitan dengan ideologi politik. Walaupun ideologi berbeza, tetapi ingatlah bahawa kita umat Islam ini bersaudara, bahu bertemu bahu semasa solat. Adakah kita lupa dengan perintah Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 103 yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu berpecah belah..”

Lalu, mengapa sekarang kita berpecah belah? Ukhuwah semakin mengendur? Seharusnya kita perlu mengamalkan manhaj atau pendekatan yang seimbang (wasatiyah) kerana agama Islam adalah agama yang berasaskan keseimbangan dan toleransi. Maka reformasi tidak boleh dicapai jika ada kebencian, hasad dengki dan permusuhan. Ada pun sifat kasih sayang, akhlak yang baik, bertoleransi dan bersangka baik itu adalah jaminan selepas keimanan kepada Allah SWT dalam melahirkan umat yang baik dan masyarakat yang stabil serta negara yang aman makmur.

Sesungguhnya Islam sangat memfokuskan kepada pembinaan hubungan persaudaraan antara sesama manusia khususnya sesama umat Islam. Bahkan persahabatan dan ikatan ukhuwah Islamiyyah yang dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat daripada pertalian berlandaskan keturunan semata-mata. Ingatkah kita pada satu sabda Baginda SAW yang mana Baginda mengatakan dalam sebuah hadis:

“Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Dan seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain.” (HR Abu Daud).

Oleh itu, tanggungjawab memperkukuhkan ukhuwah ini terletak di atas pundak setiap umat Islam. Ayuh, bersama-sama membina negara yang tercinta ini dengan paparan gaya hidup yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan mengeratkan tali persaudaraan. Usah dek kerana pilihan raya, kita semua bermasam muka dan bermusuh sesama saudara sendiri.

Sumber: Khutbah Jumaat, 30 September 2016, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).