Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHI DIRI DARI SIFAT MENCACI SESAMA MANUSIA KERANA IANYA SIFAT SYAITAN

JAUHI DIRI DARI SIFAT MENCACI SESAMA MANUSIA KERANA IANYA SIFAT SYAITAN

1114
0

Barangkali sudah menjadi trend masa kini, ditambah pula dengan kepesatan teknologi membuatkan seseorang atau kelompok manusia dengan mudahnya mencela atau mencaci di antara satu sama lain. Lebih mengejutkan apabila kebanyakannya terdiri daripada umat Islam! Adakah ini yang diajar dalam agama yang benar?!

Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (QS al-Fussilat: 33)

Sudah terbukti, bahawa perbuatan mencaci itu amat dibenci oleh Allah SWT kerana ia menggambarkan akhlak sebenar si pelaku. Tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini melainkan Allah SWT, apa sahaja yang terjadi atau tercipta adalah atas kehendak dan keizinanNya. Jika kita mencaci dengan sewenang-wenangnya ibarat kita turut mencaci kekuasaan Allah SWT. Sedangkan, kita mengaku bahawa kita ini Islam dan mengikut ajaran Islam, adakah ini akhlak seorang Islam? Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang tidak akan terlepas daripada catatan malaikat. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (QS al-Qaf: 18)

Perbuatan mencaci sebenarnya secara tidak langsung menampakkan peribadi kita (akhlak kita) seperti tidak sabar, pemarah, panas baran dan sebagainya. Akibatnya orang yang dicaci akan mendapat aib (kerana menjatuhkan air mukanya). Islam adalah agama agama yang mulia. Seluruh etika kehidupan diatur oleh agama Islam. Dalam Islam, tiada seorang pun yang dibenarkan mencaci umatnya yang lain. Ini disebabkan mencaci merupakan perbuatan yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya bisikan syaitan akan mempengaruhi untuk seseorang itu mencaci. Bagi menghindarkan sifat tercela ini, perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah dengan kalimah La Ilaha Illallah. Bagi individu yang sering dicaci, bersabarlah dan ikhlaskanlah hati semata-mata kerana Allah swt dalam apa jua tindakan dan perlakuan kita agar dapat melakukan sesuatu perkara itu dengan penuh istiqamah.

Sabda Rasulullah SAW:

Daripada Iyadl bin Himar ia bertanya, “Saya berkata, “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dari kaumku mencaciku sementara ia sendiri tidak lebih mulia dariku, maka apakah saya berdosa jika membalas cacian darinya?” baginda bersabda: “Dua orang yang saling mencaci adalah dua syaitan yang saling merendahkan dan saling berkata-kata dusta.” (HR Ahmad No: 16836)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Sinar Harian “Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati” (28 Februari 2020)