Home Kemanusiaan/Motivasi SALAH FAHAM JIHAD HARUS DIPERBETULKAN, BOM BUNUH DIRI BUKANLAH JALAN PINTAS KE...

SALAH FAHAM JIHAD HARUS DIPERBETULKAN, BOM BUNUH DIRI BUKANLAH JALAN PINTAS KE SYURGA

969
0

Bom bunuh diri atau juga disebut sebagai ‘human bombing’ adalah suatu perbuatan yang didalangi oleh kumpulan-kumpulan militan ataupun pengganas yang percaya dengan ideologi bahawa dengan cara itu memudahkan diri mereka digelar syahid dan dikurniakan syurga tanpa hisab. Sebenarnya, konsep itu salah sama sekali malah tidak pernah diajar dalam agama Islam.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (QS al-Baqarah: 195).

Perlakuan operasi bom bunuh diri walaupun tidak sama dengan perlakuan bunuh diri biasa yang dilakukan oleh individu akibat rasa putus asa atau rasa kecewa yang berat kerana ia dilakukan oleh pelakunya atas alasan jihad memperjuangkan agama Islam, namun ia adalah termasuk tindakan bunuh diri yang diharamkan oleh Islam.

Seluruh ulama yang dikenali pada masa ini memfatwakan bahawa tindakan perlakuan bom bunuh diri atas alasan jihad itu adalah perlakuan yang menyimpang dari ajaran Islam meskipun atas alasan yang diberikan untuk perjuangan agama yang suci. Ini disebabkan tindakan tersebut adalah jelas bertentangan dengan syariat, tidak mencapai apa-apa kejayaan kepada agama Islam malah akan merugikan Islam itu sendiri kerana menyebabkan Islam dipandang sebagai agama yang ganas dan membenarkan untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa. Perlakuan tersebut adalah sama sekali haram dan amat dibenci oleh Allah SWT.

Pernahkah kita terfikir risiko-risiko yang bakal timbul apabila seseorang atau sekelompok manusia terpengaruh dengan ideologi yang mengarut ini? Di sini telah diperjelaskan beberapa hal yang mengatakan bom bunuh diri itu adalah haram kerana:

1)         Kegiatan ini mengandung sifat membunuh orang-orang yang hidup, yang syari’ah Islam melindunginya.

2)         Kegiatan ini mengakibatkan kerosakan di bumi, mengandungi unsur keganasan terhadap harta benda dan apa-apa yang dimiliki, walhal semua hal itu dilindungi.

3)         Perbuatan ini merupakan salah satu bentuk tindakan putus asa (al-ya’su) dan mencelakakan diri sendiri (ihlak an-nafs), baik dilakukan di daerah damai (dar al-shulh/dar al-salam/dar al-da’wah) maupun di daerah perang (dar al-harb).

4)         Kerana ia menodai wajah Islam sebenar yang cintakan kedamaian.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunnah, kita wajib untuk memperbetulkan salah faham mengenai perkara ini agar tidak disalahertikan oleh masyarakat khususnya orang bukan Islam yang menganggap agama Islam adalah agama yang mempromosikan aktiviti keganasan dan menggalakkan pembunuhan diri secara beramai-ramai.

Sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” (HR Bukhari dan Muslim: 6047 dan 110).

Mengingati mati itu hukumnya harus, tetapi bercita-cita untuk mati disebabkan ideologi ataupun dakyah yang dhaif dengan mengharapkan jalan pintas ke syurga itu adalah haram. Sesungguhnya perbuatan membinasakan diri sendiri seperti membunuh diri atau mencederakannya adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali dalam syariah Islam. Walaupun sebesar mana mehnah dan tribulasi yang dihadapi maka sewajarnya umat Islam menghadapi dengan kesabaran dan juga solat serta amalan-amalan yang lain yang dianjurkan oleh Islam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan