Pada 14 OGOS 2023, berlakunya serangan pembunuhan di sebuah Masjid Shah Cheragh di Shiraz, Iran. Kumpulan DAESH sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap serangan tersebut sehingga mengorbankan empat nyawa dan tujuh kecederaan. Kejadian ini adalah rentetan dari serangan yang serupa pada OKTOBER 2022 di masjid yang sama telah membunuh 13 orang dan mencederakan lebih 20 yang lain.
Walaupun tiada motif yang jelas dalam serangan-serangan tersebut, secara kilasnya ini adalah bukti bahawa kumpulan pengganas DAESH ini tidak pernah lenyap, malah proses merekrut, mendoktrinkan ideologi, menjalankan latihan ketenteraan, menyusun strategi serangan dan kelompok sasaran sudah pasti dijalankan secara tersembunyi tanpa dikesan oleh pihak berkuatkuasa. Jika diimbau sejarah kemunculan DAESH ini, kejayaan DAESH mampu mencetuskan kegerunan kerana mampu menarik sokongan golongan muda untuk sama-sama dalam misi jihad global atau ‘Global Islamisme’ yang mencederungkan ke arah ancaman keselamtan dalam skala yang besar dan di luar kebiasaan. Segelintir rakyat Malaysia juga tidak terkecuali melibatkan diri dalam kumpulan DAESH ini gara-gara terpengaruh dengan ideologi DAESH yang bertopengkan jihad.
Kejadian demi kejadian yang berlaku ini bukanlah berlaku secara rawak atau kebetulan, bahkan sebenarnya berdasarkan propaganda terancang serta strategi yang sistematik DAESH khususnya atau kumpulan pengganas lain amnya yang menyebabkan ancaman dan ketakutan orang awam. Hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan seharusnya pemantauan berterusan perlu dijalankan serta kempen-kempen kesedaran sama ada melalui media sosial, penulisan dan sebagainya.
Hakikatnya perkembangan kumpulan-kumpulan militan Islam ini berdiri di atas ideologi yang ekstrem terutamanya berkenaan konsep tauhid dan jihad yang mana ianya bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang bersifat wasatiyyah. Justeru itu, dalam konteks Malaysia, kesinambungan pegangan akidah ASWJ adalah penting bagi kelangsungan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – OGOS 2023, BITARA International Journal of Civilizational Studie of Human Sciences, Vol. 2(2) dan themerdekatimes.com